PENDAKI gunung ski terkenal Amerika Syarikat (AS), Hilaree Nelson telah hilang di gunung Manaslu di Nepal.
Kehilangan beliau berlaku pada hari yang sama runtuhan salji mengorbankan pendaki Nepal di puncak sama, kata penganjur dan pegawai ekspedisi pada Selasa.
Nelson sedang bermain ski menuruni Manaslu selepas berjaya mendaki gunung kelapan tertinggi di dunia bersama pasangannya Jim Morrison pada Isnin.
“Beliau mengalami kemalangan semalam ketika turun sejurus selepas capai puncak. Kami cuba dapatkan penjelasan mengenai apa yang berlaku,” kata penganjur dari Shangri-La Nepal Treks, Jiban Ghimire kepada AFP.
Pada hari sama, runtuhan salji melanda antara Kem 3 dan 4 di gunung setinggi 8,163 meter itu, mengorbankan seorang pendaki Nepal dan mencederakan berdozen yang lain, kata jabatan pelancongan kerajaan.
Kematian itu adalah yang pertama disahkan pada musim pendakian ketika musim luruh di Nepal.
Hujan dan salji yang berterusan telah menjadi cabaran bagi 404 pendaki yang cuba untuk sampai ke puncak Manaslu tahun ini, malah cuaca buruk turut menghalang usaha menyelamat, dengan helikopter tidak dapat terbang pada Isnin.
Ghimire berkata cuaca telah bertambah baik pada Selasa dan sebuah helikopter sedang menuju ke lokasi kemalangan Nelson.
Morrison selamat sampai ke kem pangkalan dan mengiringi pasukan mencari dan menyelamat, tambah Ghimire.
The North Face, yang menaja Nelson, mengesahkan pendaki itu hilang.
“Kami berhubung dengan keluarga Hilaree dan menyokong usaha mencari dan menyelamat dalam setiap cara yang kami boleh,” kata syarikat itu dalam catatan Instagram pada Selasa.
Wanita berusia 49 tahun itu mempunyai kerjaya yang menjangkau dua dekad dan digambarkan sebagai “pendaki gunung ski paling prolifik dalam generasinya” dalam profil di laman web The North Face.
Pada 2012, beliau menjadi wanita pertama yang mendaki gunung tertinggi di dunia, Everest, dan Lhotse yang bersebelahan dengannya dalam masa 24 jam.
Enam tahun kemudian, beliau kembali ke Lhotse dan membuat turunan ski pertama di gunung itu, yang memberikannya anugerah Pengembara Terbaik National Geographic.
Nepal merupakan rumah kepada lapan daripada 14 puncak tertinggi di dunia dan pendaki asing yang berpusu-pusu ke pergunungannya memberikan sumber pendapatan utama negara itu.
Industri itu hampir ditutup sepenuhnya akibat pandemik coronavirus pada 2020, tetapi negara itu membuka semula puncaknya kepada pendaki gunung tahun lalu. – AFP, 27 September, 2022.
Komen