RUU kerakyatan langkah wajar tetapi ambil masa panjang


Raevathi Supramaniam

RANG undang-undang (RUU) Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said untuk meminda Perlembagaan bagi memberikan kewarganegaraan kepada anak dilahirkan wanita Malaysia di luar negara menunjukkan hak mereka tidak boleh dan tidak sepatutnya dinafikan, kata kumpulan masyarakat sivil dan ibu yang terlibat.

Mereka berkata walaupun RUU itu satu langkah ke arah yang betul, ia boleh mengambil masa bertahun lamanya sebelum sebarang langkah menangani mereka yang terjejas.

Presiden Family Frontiers Suriani Kempe berkata RUU Azalina adalah bukti sokongan kepada wanita dan anak-anak mereka, walaupun kerajaan sentiasa cuba menghalang cabaran mereka.

“Kes (kerakyatan) ini menarik perhatian dan sokongan sebilangan besar rakyat Malaysia, dan usaha ahli Parlimen ini adalah satu lagi demonstrasi sokongan meluas untuk memastikan anak dilahirkan ibu rakyat Malaysia tidak dinafikan lagi hak mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kami menggesa kerajaan mendengar suara rakyat dan mengangkat seruan mereka agar wanita Malaysia mempunyai hak yang sama untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka, seperti lelaki Malaysia.”

Azalina mengemukakan usulnya kepada Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin pada 15 September.

Beliau meminta RUU itu dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang pada 3 Oktober.

Azalina, yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial berkata, usul dikemukakan bagi meminda Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan – (c) dalam Fasal (1)(b) dan (d) dalam Fasal (1)(c), dengan memasukkan perkataan “atau ibunya” selepas perkataan “bapanya”.

Fasal tersebut menyatakan setiap individu yang dilahirkan di luar Persekutuan pada atau selepas Hari Malaysia, yang bapanya adalah warganegara Malaysia pada masa kelahiran, dianggap sebagai warganegara Malaysia mengikut kuat kuasa undang-undang.

Pada September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak bersetuju dengan amalan ini, memutuskan peruntukan Perlembagaan mengenai hak kewarganegaraan mesti dibaca bersama dengan peruntukan menentang diskriminasi jantina.

Atas dasar ini, Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir memutuskan perkataan “bapa” dalam Perkara 14 mesti dibaca untuk memasukkan ibu dan anak-anak mereka berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang.

Bagaimanapun pada Ogos lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang. 

Hakim Kamaludin Md Said, dalam penghakimannya, berkata perkataan “bapa” dalam Seksyen 1(b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada bapa sahaja dan tidak boleh ditafsirkan untuk memasukkan ibu.

Ini bermakna ia menghalang wanita Malaysia yang berkahwin dengan bukan warganegara daripada mewariskan taraf kerakyatan mereka kepada anak yang dilahirkan di luar Malaysia.

Bagaimanapun, Hakim S Nantha Balan, yang memberikan penghakiman berbeza berkata terdapat konflik yang jelas dan nyata antara artikel 8(2) dan 14(1)(b), dan peruntukan berkaitannya dalam Perlembagaan Persekutuan, yang membayangkan keturunan ibu adalah lebih rendah daripada keturunan bapa.

Beliau juga menambah: “Ia tidak logik, bertentangan dan menjatuhkan maruah wanita Malaysia”.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 14 Disember untuk mendengar permohonan Family Frontiers untuk kebenaran meneruskan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan. – 28 September, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen