Gerai pekerja asing di pasar borong KL jejaskan peniaga tempatan, kata peniaga


Khoo Gek San

Gerai yang dibuka oleh peniaga warga asing berhampiran Pasar Borong KL didakwa menjejaskan peniaga tempatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 September, 2022.

PEKERJA migran dilihat mendominasi deretan kedai berhampiran pasar borong Kuala Lumpur dengan menjual pelbagai jenis barangan daripada sayur-sayuran sehingga makanan laut segar.

Beberapa peniaga tempatan mendakwa peniaga migran itu membuka kedai di tepi pasar yang terletak di Jalan 2/3A di Batu Caves, Selangor.

Larangan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk peniaga basah mengambil pekerja asing adalah punca utama menyebabkan kedai ini tumbuh bagai cendawan selepas hujan, kata pemilik perniagaan.

Pengerusi Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur Sing Kian Hock berkata sejak 2018 beberapa pekerja asing mula menyewa lori dan menjual barangan daripadanya.

Mulai 2019 mereka mula beroperasi dengan kedai sendiri dan sehingga kini terdapat 20 kedai, katanya.

Sing berkata warga asing itu akan membayar rakyat tempatan RM2,000 sehingga RM3,000 sebagai proksi untuk menyewa kedai atas nama mereka.

Memandangkan ia adalah lesen kedai runcit DBKL akan mengambil tindakan terhadap kedai tersebut, katanya.

“Ini adalah kelemahan dalam undang-undang dan pekerja asing mengambil kesempatan daripadanya untuk memulakan perniagaan mereka sendiri.

“Sebahagian daripada mereka adalah pelarian. Dahulu mereka berniaga di tepi jalan tetapi sekarang mereka berniaga di kedai, jadi sukar untuk penguatkuasaan undang-undang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sejak 2018 beberapa pekerja asing mula menyewa lori dan menjual barangan berhampiran Pasar Borong KL. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 September, 2022.

Kedai-kedai itu yang dikendalikan oleh pekerja asing menyebabkan penurunan 30% dalam jualan makanan laut di pasar basah, kata Sing.

“Kita tidak tahu sama ada pekerja asing ini membayar cukai. Mereka juga beroperasi 24 jam sehari manakala kami buka lapan hingga sembilan jam sehari.

“Jalan itu kini didominasi oleh pekerja asing dan ia agak menakutkan.”

“Kurangnya penjagaan kebersihan juga menyumbang kepada timbunan sampah di jalanan,” katanya.

Pekerja asing yang menjalankan kedai-kedai ini juga sangat maju, kata Sing.

“Pelanggan hanya perlu menghubungi dan membuat pesanan kemudian mereka datang dan mengambilnya apabila ia sudah siap,” katanya. 

Kedai-kedai milik pekerja asing ini juga sering dikunjungi oleh sesama komuniti mereka tetapi sesetengah penduduk tempatan juga membeli daripada mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 September, 2022.

Peniaga sayur terjejas teruk

Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur Wong Keng Fatt berkata larangan DBKL menyebabkan semua pekerja asing lamanya kini menjadi “bos” mereka sendiri apabila membuka kedai di luar pasar basah.

“Mereka kebanyakannya dari Bangladesh (70%) dan Myanmar (30%). Ada juga yang memegang status pelarian UNHCR.

“Setiap kali Rela, DBKL dan Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengadakan operasi bersama untuk menangkap pekerja ini, ada antara mereka yang bersembunyi,” katanya.

Wong berkata beliau juga pernah mendengar tentang pekerja asing itu “meminjam” nama penduduk tempatan untuk mendapatkan lesen membuka kedai.

Pada hakikatnya kedai-kedai itu dikendalikan secara bersama oleh lima hingga enam pekerja asing dan mereka membayar dengan “memotong” proksi tempatan setiap bulan untuk bahagiannya dalam mendapatkan lesen.

“Kedai-kedai ini sering dikunjungi oleh sesama komuniti mereka tetapi sesetengah penduduk tempatan juga membeli daripada mereka,” katanya.

Wong berkata perniagaan peniaga merosot sebanyak 20% sejak kedai mula beroperasi.

Tambahnya penduduk tempatan kini lebih bersedia untuk bekerja di pasar berikutan gaji harian yang tinggi. – 22 September, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen