Guan Eng gesa Saravanan hapus kerenah pengambilan pekerja asing 


Pengerusi DAP Lim Guan Eng turut mengalu-alukan langkah kementerian untuk menarik balik pembekuan sementara pengambilan pekerja asing.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2022.

MENTERI Sumber Manusia M. Saravanan tidak seharusnya menyusahkan pemilik perniagaan dengan menyukarkan proses pengambilan pekerja asing, kata Lim Guan Eng hari ini.

Sambil mengalu-alukan langkah kementerian untuk menarik balik pembekuan sementara pengambilan pekerja asing, pengerusi DAP itu meminta menteri berkenaan melihat cara untuk menambah baik prosedur dan syarat permohonan semasa pengambilan pekerja.

“Saravanan harus melihat bagaimana untuk membantu dan tidak membahayakan perniagaan dengan menambah baik prosedur dan syarat permohonan semasa pengambilan pekerja asing untuk menjadikannya lebih telus melalui pendekatan pusat sehenti yang cekap.

“Saravanan juga harus memberi tumpuan kepada mengurangkan kerenah berhubung banyak permohonan yang belum selesai diproses dan diluluskan, yang mana industri mencari sistem pemprosesan cekap untuk penyelesaian permohonan itu yang cepat,” kata ahli Parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ahad lalu, Lim menggesa Saravanan digantung tugas kerana menyebabkan perniagaan mengalami kesukaran yang tidak perlu dengan mengenakan penggantungan dua minggu ke atas permohonan pengambilan pekerja asing dari 15-31 Ogos.

Lim yang juga bekas menteri kewangan berkata keputusan Saravanan untuk menarik balik larangan sementara itu adalah tepat pada masanya dan ia menyelamatkan proses pengambilan pekerja asing daripada ambang huru-hara.

Saravanan berkata semua permohonan awal untuk mengambil kira-kira 400,000 pekerja asing akan diteruskan sebelum akhir bulan ini.

“Ini akan menghalang usaha semua industri untuk mengatasi kekurangan 1.2 juta pekerja dan kerugian diakibatkannya sebanyak RM33.5 bilion kepada sektor perladangan, industri sarung tangan getah dan alat ganti kereta.

“Industri lain juga akan mencatatkan kerugian berpuluh bilion ringgit,” katanya.

Minggu lalu, Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma) berkata kira-kira 1,500 restoran mamak seluruh negara dijangka tutup akhir tahun ini susulan kekurangan pekerja asing dan kesukaran mencari pekerja tempatan.

“Kekurangan pekerja asing semakin kritikal menyebabkan 3,000 pengusaha restoran daripada 12,000 ahli yang berdaftar dengan persatuan terpaksa ditutup sejak penularan wabak Covid-19 dua tahun lalu.

“Industri restoran mamak memerlukan sekurang-kurangnya 30,000 lagi pekerja untuk mengisi kekosongan di seluruh negara,” kata Presiden Presma Jawahar Ali Taib Khan. 

Sementara itu, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berkata prosedur permohonan pekerja asing tidak seharusnya dihentikan kerana ia akan mengganggu pemulihan ekonomi semasa.– 17 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen