PBB lancar kemudahan kewangan antarabangsa untuk pendidikan


Guterres menggesa semua penderma antarabangsa dan organisasi dermawan untuk menyokong IFFEd. – Gambar AFP, 18 September, 2022.

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres dan utusan khas bagi pendidikan global Gordon Brown pada Sabtu melancarkan Kemudahan Kewangan Antarabangsa untuk Pendidikan (IFFEd) bernilai berbilion dolar.

Menjangkakan projek pertamanya pada 2023 IFFEd akan menyokong pelaburan pendidikan dan pembangunan kemahiran di negara berpendapatan sederhana-rendah.

Dengan pembiayaan awal AS$2 bilion kemudahan itu dijangka berkembang kepada AS$10 bilion menjelang 2030 lapor Xinhua.

Dalam satu sidang akhbar bersama Guterres berkata sejak pandemik Covid-19 bermula, dua pertiga negara mengurangkan belanjawan pendidikan mereka tetapi pendidikan adalah blok masyarakat yang aman, makmur dan stabil.

“Mengurangkan pelaburan bermakna membenarkan krisis yang lebih serius berterusan. Kita perlu mendapatkan lebih banyak dana ke dalam sistem pendidikan bukan mengurangkannya.”

“Negara-negara kaya boleh meningkatkan pembiayaan daripada sumber domestik mereka tetapi banyak negara membangun sedang dilanda krisis kos sara hidup dan memerlukan sokongan segera untuk pendidikan,” kata Guterres.

Katanya lagi kemudahan itu bertujuan untuk mendapatkan pembiayaan buat negara berpendapatan sederhana- rendah, menyediakan rumah kepada separuh daripada kanak-kanak dan belia dunia serta majoriti kanak-kanak yang tidak berumah dan pelarian.

IFFEd bukanlah dana baharu sebaliknya ia satu mekanisme untuk meningkatkan sumber yang tersedia kepada bank pelbagai hala untuk menyediakan kemudahan kewangan pendidikan kos rendah.

Ia akan melengkapkan wadah sedia ada yang menyediakan geran dan bantuan lain kata Guterres yang turut menggesa semua penderma antarabangsa dan organisasi dermawan untuk menyokong IFFEd.

Sementara Brown berkata IFFEd adalah usaha menangani krisis apabila 260 juta kanak-kanak keciciran persekolahan, 400 juta kanak-kanak pada usia 11 tahun tidak boleh membaca atau menulis dan tercicir daripada pendidikan, 840 juta kanak-kanak dan orang muda meninggalkan pendidikan dalam usia remaja akibatkan mereka tidak mempunyai kelayakan di tempat kerja pada masa depan.

“Dari masa ke masa kami menjangkakan dana ini akan berkembang daripada AS$2 bilion kepada AS$5 bilion dan meningkat kepada AS$10 bilion.

“Bermaksud hari ini dunia menyaksikan kami mengumumkan pelaburan tunggal terbesar dalam pendidikan global dan kami percaya ia boleh mengubah prospek berjuta-juta kanak-kanak,” katanya. – Bernama, 18 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen