TIADA seorang pun daripada Kementerian Pendidikan menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan Parlimen (JKPKP) walaupun ada jemputan bagi menjelaskan langkah mengejut untuk memansuhkan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), kata pengerusi jawatankuasa Dr Maszlee Malik.
Jawatankuasa itu berharap untuk mendengar daripada Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengenai rasional keputusannya untuk membatalkan PT3, serta alternatif yang disediakan bagimenggantikan peperiksaan yang digunakan untuk aliran pelajar ke dalam bidang seni atau sains di Tingkatan 4.
“JKPKP melalui setiausaha Dewan Rakyat telah memanggil menteri KPM atau wakilnya untuk memberikan pencerahan dan penerangan mengenai rasional, persiapan dan juga alternatif kepada tindakan tersebut.
“Malangnya KPM dan menterinya memilih untuk tidak hadir. Hal ini amat dikesali, kerana ianya meremehkan kuasa Parlimen dan merendahkan konsep pengasingan kuasa yang wujud di negara ini,” kata Maszlee dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Simpang Renggam dan bekas menteri pendidikan itu juga berkata ia menunjukkan sikap tidak profesional Radzi atau pegawainya.
Menurutnya jawatankuasa juga akan bertemu dengan Speaker Dewan Rakyat dan juga Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berhubung hal ini.
Pada 2 Jun lalu, Radzi mengumumkan PT3 akan dimansuhkan mulai tahun ini, dan kementerian akan menambah baik pentaksiran berasaskan sekolah.
Radzi ketika menjelaskan keputusan kementerian itu berkata, PT3 yang bermula pada 2014 menggantikan peperiksaan PMR Tingkatan 3, didapati menghasilkan standard yang berbeza dalam kalangan sekolah. – 14 Jun, 2022.
Komen