Ratu Elizabeth wanita hebat dalam dunia lelaki, kata permaisuri


Permaisuri Britain Camilla berkata Ratu Elizabeth III seorang wanita yang hebat yang berjaya dalam dunia dikuasai kaum lelaki. – Gambar EPA, 18 September, 2022.

PERMAISURI Britain Camilla ketika memberi penghormatan kepada Ratu Elizabeth II berkata mendiang “wanita bersendirian” dalam dunia yang didominasi lelaki.

Dalam komen umum pertamanya yang disiarkan sejak kemangkatan Ratu Elizabeth, isteri Raja Charles III berkata ia semestinya “sangat sukar” bagi mendiang ratu yang mewarisi takhta pada 1952 ketika baru berusia 25 tahun.

Komen prarakamannya kepada televisyen BBC akan disiarkan lewat Ahad sebelum minit kebangsaan berdiam diri pada pukul 8.00 malam.

“Baginda menjadi sebahagian daripada hidup kami untuk selama-lamanya. Saya berusia 75 tahun sekarang dan saya tidak ingat sesiapa kecuali Ratu sentiasa ada,” kata Camilla.

“Mestilah sukar untuk baginda menjadi wanita yang sendirian.

“Tidak ada perdana menteri atau presiden wanita. Baginda seorang sahaja jadi saya fikir baginda telah mengukir peranannya sendiri.”

Mengingati mendiang ibu mertuanya, tambah Camilla: “baginda mempunyai mata biru yang indah, yang apabila tersenyum, akan menerangi seluruh wajahnya.

“Saya akan sentiasa ingat senyumannya. Senyuman itu tidak dapat dilupakan.”

Pada Februari tahun ini, menjelang ulang tahun ke-70 naik takhta, Ratu Elizabeth menamatkan semua perdebatan tentang bagaimana Camilla harus dikenali sebaik anak sulungnya Charles menjadi raja. – AFP, 18 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen