BEKAS perdana menteri Najib Razak boleh mendapatkan ubat sendiri untuk merawat penyakit tekanan darah tingginya, kata Khairy Jamaluddin.
Berdasarkan semakan dengan prosedur Jabatan Penjara, menteri kesihatan berkata tiada sekatan dikenakan ke atas Najib untuk memiliki ubat sendiri, dengan syarat beliau membelinya.
“Saya faham ia boleh dibenarkan,” kata Khairy.
“Mengikut prosedur, banduan yang mampu beli ubat sendiri, dibenarkan berbuat demikian.
“Saya telah memaklumkan kepada keluarga beliau (Najib) jika mereka mahu bekalkan ubat berjenama, mereka boleh buat demikian. Yang disediakan oleh hospital adalah yang generik,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Khairy berkata, mengikut pemahamannya, Najib telah membawa ubat-ubatannya sendiri ke penjara dan Kementerian Kesihatan tidak ada masalah dengan itu.
Beliau berkata peraturan penjara juga membenarkan amalan sedemikian.
Awal hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk menangguhkan perbicaraan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Najib untuk minggu ini selepas bekas perdana menteri itu masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata HKL telah mengeluarkan sijil sakit kepada Najib bermula hari ini hingga esok.
Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihak hospital akan menjalankan beberapa ujian ke atas ahli Parlimen Pekan itu dan tidak pasti bila beliau akan dibenarkan keluar.
Najib telah dimasukkan ke HKL sejak petang Isnin.
Pada Selasa, Shafee berkata tekanan darah Najib tidak stabil.
Bercakap kepada mahkamah hari ini, Shafee berkata berdasarkan laporan perubatan semasa Najib, keadaan bekas perdana menteri itu semakin pulih.
Katanya ini mungkin kerana Najib diberi ubat asalnya, yang telah diambilnya sebelum ini.
Beliau turut menafikan yang Najib telah diberikan ubat-ubatan biasa.
Menjelaskan kepada media mengenai ubat-ubatan yang diberikan kepada Najib, Shafee berkata dakwaan oleh Kementerian Kesihatan adalah “karut”.
“Ubat-ubatan dan jumlah dos betul, satu asli dan satu lagi tidak (generik).
“Jika sesiapa dari Kementerian Kesihatan berkata ianya sama, itu karut.”
Shafee turut membidas Khairy kerana tidak membenarkan Najib mendapatkan rawatan perubatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Peguam itu memberitahu mahkamah Najib sepatutnya dipindahkan ke IJN tetapi dinafikan Khairy.
Khairy berkata Najib akan kekal di HKL kerana beliau adalah banduan.
“Kita pada mulanya diberitahu oleh Kementerian Kesihatan sendiri yang Najib akan dihantar ke IJN.
“Mereka tidak mahu ambil risiko. Beliau (Najib) bukanlah orang pertama dari penjara yang perlukan rawatan pakar. Jika masalah itu serius, beliau perlu cari pakar.
“Saya tidak fikir beliau (Khairy) betul. Beliau patut lihat Akta Penjara,” kata Shafee. – 14 September, 2022.
Komen