Ibu bapa main peranan henti penularan Covid di sekolah, kata NUTP


Elill Easwaran

Keputusan kerajaan melonggarkan peraturan pelitup muka di sekolah adalah langkah yang tepat pada masanya namun ibu bapa perlu terus waspada dengan kesihatan anak, kata NUTP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2022.

KEPUTUSAN kerajaan untuk melonggarkan peraturan pelitup muka di sekolah adalah langkah yang tepat pada masanya namun ibu bapa perlu terus waspada dengan kesihatan anak-anak mereka, kata guru dan kumpulan ibu bapa.

Mereka berkata ibu bapa yang bimbangkan anak mereka masih boleh memakai pelitup muka di sekolah.

Bagaimanapun, kumpulan ini juga berkata tanggungjawab berada pada ibu bapa untuk pastikan ruang kediaman mereka selamat daripada Covid-19, selain anak-anak mereka tidak menularkannya di sekolah.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Fouzi Singon berkata keselamatan kanak-kanak adalah tanggungjawab ibu bapa dan keluarga.

“Jika mereka bimbang tentang keselamatan kesihatan anak, mereka masih boleh pakai pelitup muka. Ini bukan paksaan tetapi kesedaran tentang pendidikan kesihatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya sekolah tidak pernah menjadi punca penularan virus Covid-19.

“Keluarga yang tidak beri perhatian punca virus itu tular di sekolah melalui anak mereka yang terdedah dan ada simptom.

“Kesedaran keselamatan kesihatan terletak pada pendidikan di rumah dan kesedaran diri secara keseluruhan,” kata Fouzi.

Hujung minggu lepas, Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata penggunaan pelitup muka di kawasan sekolah, sama ada di dalam atau di luar, tidak lagi diwajibkan.

Bagaimanapun, penggunaan pelitup muka tetap digalakkan di sekolah terutama di tempat sesak, katanya dalam klip video yang dimuat naik di laman Facebook rasminya.

“Selain itu, murid-murid yang menaiki bas sekolah diingatkan untuk memakai pelitup pada setiap masa.

“Apa yang paling penting, kita pastikan keadaan sekolah selamat,” katanya.

Fouzi juga berkata adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan keselamatan anak-anak mereka dengan memastikan mereka memakai pelitup muka dari rumah.

“Ibu bapa yang faham tentang Covid-19 dan mengambil berat tentang keselamatan anak mereka mungkin bersetuju dengan pemakaian pelitup muka.

“Selain itu, keseluruhan sistem pendidikan di sekolah sentiasa mendidik pelajar tentang Covid-19 dengan maklumat terkini dan pencegahannya.

Sementara itu, Presiden Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan (Page) Noor Azimah Abdul Rahim berkata sudah tiba masanya mandat pelitup muka di sekolah dihapuskan.

“Kita sudah capai tahap endemik. Orang yang ada komorbiditi bagaimanapun perlu lebih berhati-hati,” katanya.

Beliau juga berkata ibu bapa perlu sentiasa berwaspada dan pilihan untuk memakai pelitup muka atau sebaliknya amat dialu-alukan.

“Ibu bapa harus buat langkah awal untuk pastikan anak-anak mereka cukup sihat untuk bersekolah.

“Menteri pendidikan bersuara dan ibu bapa bebas untuk gesa supaya anak mereka sendiri kekal pakai pelitup muka,” kata Noor Azimah.

Minggu lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pemakaian pelitup muka dalam bangunan kini bukan lagi wajib.

Bagaimanapun, beliau berkata pelitup muka tetap perlu dipakai di hospital, pengangkutan awam dan rumah penjagaan.

Khairy berkata pemilik premis masih boleh memutuskan sama ada pengunjung perlu memakai pelitup muka atau tidak. – 15 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen