Pelitup muka dalam bangunan bukan lagi wajib, umum Khairy


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementeriannya juga amat menggalakkan orang ramai terus memakai pelitup muka kerana ia terbukti mampu mengurangkan penularan jangkitan Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 7 September, 2022.

PEMAKAIAN pelitup muka di dalam bangunan kini bukan lagi wajib sebaliknya hanya pilihan peribadi berkuat kuasa serta merta mula hari ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Pemilik premis bagaimanapun berhak menentukan sama ada pengunjung perlu atau tidak mengenakan pelitup muka, katanya.

“Berdasarkan penilaian situasi semasa Covid-19 serta mengambil kira keperluan semasa, Kementerian Kesihatan ingin mengumumkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan.

“Walau bagaimanapun pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau boleh memilih untuk memakai pelitup muka.,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Kementerian Kesihatan juga amat menggalakkan orang ramai terus memakai pelitup muka kerana ia terbukti mampu mengurangkan penularan jangkitan Covid-19, tambahnya.

Khairy juga mengumumkan pelitup muka masih wajib dipakai bagi mereka yang positif Covid-19.

Ia juga wajib dipakai dalam pengangkutan awam, termasuk semasa menggunakan perkhidmatan kereta tumpang atau e-hailing, serta premis kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan dan pusat hemodialisis.

Pemilik premis bagaimanapun berhak menentukan sama ada pengunjung perlu atau tidak mengenakan pelitup muka, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2022.

Kementerian Kesihatan juga katanya menggalakkan orang ramai terus mengenakan pelitup muka ketika berada di kawasan sesak seperti pasar malam, stadium, gedung membeli belah dan rumah  ibadah, atau ketika bersama individu berisiko tinggi seperti warga tua, individu berpenyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu mengandung.

“Dengan kelonggaran ini juga, orang ramai perlu memikul tanggungjawab individu yang lebih besar melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi seluruh komuniti,” katanya.

Keputusan yang diumumkan hari ini dibuat hasil syor pakar yang disampaikan kepada Jawatankuasa Eksekutif Kesihatan Awam, yang dipengerusikan oleh Khairy sendiri selaku menteri.

Pemakaian pelitup muka mula dilonggarkan sejak 1 Mei lepas apabila ia tidak diwajibkan di luar bangunan dan kawasan terbuka. Ia dilonggarkan sebulan selepas Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik sejak 1 April 2022. – 7 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen