Puluhan sertai protes di Tunisia bantah penahanan wartawan


Tunisia menyaksikan peningkatan dalam pendakwaan terhadap wartawan termasuk di mahkamah tentera sejak Presiden Kais Saied merampas kuasa tahun lepas. – Gambar EPA, 10 September, 2022.

BERPULUH-PULUH peserta menyertai protes di Tunisia semalam bagi menuntut pembebasan seorang wartawan dan aktivis yang ditahan awal minggu ini disyaki kerana terlibat dalam keganasan.

Ghassen Ben Khlifa, editor laman web Inhiyez dan seorang aktivis pro-Palestin yang terkenal ditangkap di rumahnya pada Selasa lepas.

Pegawai polis juga menggeledah rumah dan merampas dua komputer, menurut beberapa laporan media.

Ben Khlifa direman dalam tahanan, kata Naib Presiden Kesatuan Wartawan SNJT Amira Mohamed.

“Kami tidak mempunyai penjelasan kenapa beliau ditangkap.

“Penahanan itu adalah satu daripada siri kes terhadap wartawan untuk menakut-nakutkan dan menutup mulut mereka yang merupakan ancaman serius terhadap kebebasan akhbar di negara ini,” katanya.

SNJT menganjurkan demonstrasi semalam yang membawa berpuluh-puluh aktivis dan wartawan ke Habib Bourguiba Avenue di tengah-tengah Tunis di bawah kawalan polis yang ketat.

Mereka melaung “bebaskan Ghassen” dan “hentikan penindasan negara!” berserta slogan menentang polis serta kementerian dalam negeri berhampiran. Ada yang membawa sepanduk menyokong kebebasan akhbar.

Tunisia menyaksikan peningkatan dalam pendakwaan terhadap wartawan termasuk di mahkamah tentera sejak Presiden Kais Saied merampas kuasa yang luas dalam satu tindakan dramatik terhadap Parlimen tahun lepas. – AFP, 10 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen