Perlu ada undang-undang lindungi wartawan, kata badan pemerhati


Aminah Farid

Gerakan Media Merdeka menggesa supaya undang-undang untuk melindungi wartawan diwujudkan berikutan tular video menunjukkan dua wartawan bertugas diganggu seorang pengamal keselamatan pada Sabtu lepas. – Gambar video tular, 16 Mei, 2022.

MALAYSIA perlu mewujudkan undang-undang untuk melindungi pengamal media, kata Gerakan Media Merdeka (Geramm) hari ini.

Kenyataan itu muncul selepas dua wartawan tempatan diganggu oleh seorang pengawal keselamatan yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Pudu Sentral pada Sabtu. 

Melalui Facebook, Geramm berkata insiden baru-baru ini hanya menunjukkan pentingnya undang-undang melindungi media semasa menjalankan tugas.

“Antara lain, keperluan untuk ‘meminta izin’ atau ‘mendapatkan kerjasama’ dari pihak berkaitan sebelum memulakan liputan - terutama apabila melibatkan kepentingan awam - tidak seharusnya dijadikan sebagai langkah pertama yang wajib dipenuhi. 

“Sebaliknya, tanggungjawab media adalah untuk mematuhi prinsip etika di lapangan, termasuklah mengenalkan diri sebagai wartawan (atau memakai tanda pengenalan diri), menyamarkan identiti individu atau sumber apabila perlu, serta memberikan hak jawab terhadap apa-apa tuduhan berbangkit,” katanya.

Geramm berkata sebarang gangguan dan halangan terhadap tugas media oleh mana-mana pihak, apatah lagi sekiranya melibatkan ancaman atau kekerasan fizikal dan lisan, sepatutnya menjadi satu kesalahan jenayah.

“Geramm turut mengulangi pendirian bahawa sebarang isu melibatkan cara kerja serta etika kewartawanan perlu ditatakelola oleh sebuah majlis media yang bebas dan merangkumi wakil daripada semua pihak,” katanya.

Dalam kejadian pada Sabtu itu, dilaporkan yang pengawal itu turut merampas telefon seorang wartawan selepas menyedari dirinya dirakam. Bagaimanapun telefon itu dikembalikan semula..

Dalam video tular itu, pengawal terbabit dilihat menjerit kepada wartawan supaya meninggalkan premis.

Walaupun laporan polis telah difailkan, ketua polis daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya hari ini berkata kes itu telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) kerana pihak berkuasa tidak menemui sebarang kesalahan jenayah. – 16 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen