Adun DAP lapor SPRM isu bayaran RM1.4 juta Hadi kepada editor Sarawak Report


Ravin Palanisamy

Adun Seri Delima Syerleena Abdul Rashid berkata beliau mahu SPRM memulakan siasatan terhadap Presiden PAS berhubung bayaran RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2022.

SEORANG Adun DAP membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan pembayaran dibuat kepada editor portal berita pada 2019.

Adun Seri Delima Syerleena Abdul Rashid berkata beliau mahu SPRM memulakan siasatan berhubung penyelesaian yang dibuat Hadi di luar mahkamah berjumlah RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown. 

“Saya membuat laporan kepada SPRM semalam terhadap Presiden PAS Hadi Awang,” Syerleena mengesahkan secara ringkas kepada media pada sidang media har ini.

Beliau ditemani peguam dan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer ke pejabat SPRM di Pulau Pinang.

“Laporan itu adalah mengenai perkara yang dilaporkan secara meluas oleh media di mana sejumlah RM1.4 juta dibayar kepada seorang wanita British yang bernama Clare Rewcastle-Brown.

“Syerleena menuntut siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001 dan Akta Cukai Pendapatan,” jelas Rayer. 

Rayer menjelaskan pegawai SPRM sudah memberi amaran kepada mereka supaya tidak membocorkan maklumat mengenai kes itu.

Pengerusi Biro Undang-undang Kebangsaan DAP Ramkarpal Singh turut hadir pada sidang media itu.

Ramkarpal berkata Syerleena sudah menyerahkan segala maklumat berkaitan kes itu kepada SPRM.

“SPRM dasarnya menasihatkan kami mereka akan mengesahkan sumber maklumat dan akan memulakan siasatan.

“Mereka perlu merekodkan kenyataan lain dan oleh itu mereka menasihatkan kami supaya tidak mendedahkan apa sahaja maklumat yang kami berikan kepada SPRM,” katanya.

Pada Rabu Pengerusi DAP Lim Guan Eng turut meminta Hadi menjelaskan penyelesaian di luar mahkamah dengan Rewcastle-Brown.

Lim juga berkata Hadi mesti menjawab dakwaan Rewcastle-Brown bahawa partinya PAS menerima rasuah RM90 juta daripada Umno. 

Hadi menyaman Rewcastle-Brown di London berhubung artikel 2016 yang mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak memberi RM90 juta kepada pemimpin PAS untuk memastikan sokongan mereka pada pilihan raya umum 2018.

Bagaimanapun, saman itu berakhir dengan penyelesaian di luar mahkamah yang menyaksikan Hadi membayar Rewcastle-Brown RM1.4 juta sebaliknya.

Hadi sebelum ini menafikan membayar Rewcastle-Brown untuk menyelesaikan saman fitnahnya.

Bagaimanapun, Rewcastle-Brown mengesahkan menerima bayaran RM1.4 juta daripada Hadi untuk menamatkan pertikaian undang-undang.

Baru-baru ini Hadi mendapat kecaman daripada ahli Parlimen pembangkang selepas menuduh bukan Islam dan bukan Bumiputera sebagai punca rasuah di negara ini.

Syerleena juga membuat laporan polis berhubung dakwaan kenyataan perkauman Hadi pada 26 Ogos.  – 9 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen