Di Britain dan naungannya, lagu kebangsaan dan duit bertukar dengan raja baharu


Raja Charles III, yang menggantikan bondanya Ratu Elizabeth II yang mangkat semalam, akan mempunyai bendera dirajanya sendiri. – Gambar EPA, 9 September, 2022.

KEMANGKATAN Ratu Elizabeth II dan diganti anaknya Raja Charles III akan membawa beberapa perubahan simbol di United Kingdom, daripada lagu kebangsaan sampailah kepada duit kertas dan silingnya.

Perubahan itu setakat ini belum disahkan tetapi sejarah menunjukkan ia berlaku setiap kali ada pertukaran di takhta.

Selama tujuh dekad, ‘God Save the Queen’ menjadi lagu kebangsaan di Britain dan mulai hari ini liriknya akan ditukar dengan perkataan “King”.

Lagu itu juga adalah lagu kebangsaan bagi New Zealand serta lagu diraja di Australia dan Kanada.

Perubahan sama juga akan dilihat pada pasport Britain, Australia, Kanada, dan New Zealand, yang akan memasukkan perkataan “His Majesty”.

Semua institusi dan bangunan yang menggunakan perkataan “Her Majesty” juga akan ditukar kepada “His Majesty”, antaranya kerajaan yang memerintah serta perbendaharaan, dan pasukan keselamatan.

Peguam kanan yang selama ini dikenali sebagai Queen’s Counsel akan mula disebut dengan nama King’s Counsel. Dalam perundangan juga, satu cabang mahkamah tinggi di United Kingdom dan beberapa negara Komanwel tidak lagi disebut dengan nama Queen’s Bench Division.

Panggung teater diraja di London, yang mementaskan muzikal “The Phantom of the Opera“sejak 1986, kini akan dikenali sebagai His Majesty’s Theatre.

Duit kertas dan siling yang memakai potret diraja selama lebih 1,000 tahun juga akan bertukar. Potret Ratu Elizabeth II menghadap ke kanan sementara duit kertas dan siling baharu dijangka akan memasang potret Raja Charles III dengan wajah menghadap ke kiri, sama seperti semasa ia memakai potret King George VI.

Bank of England dalam satu kenyataan hari ini berkata wang kertas dan duit siling sedia ada masih sah dipakai sehingga pengumuman lanjut selepas tempoh berkabung.

Selain wang kertas dan duit siling, setem yang memaparkan wajah Queen Elizabeth II juga akan barang kenang-kenangan.

Raja Charles III juga akan mempunyai bendera dirajanya sendiri, yang akan dikibarkan di mana-mana istana kediamannya serta pada kenderaan yang digunanya. – Agensi



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen