GTA guna lambang obor dalam PRU15


Pada 4 Ogos lepas Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan GTA yang disertai empat parti iaitu Pejuang, Putra, Berjasa dan Iman, untuk bertanding dalam PRU15 nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2022.

GERAKAN Tanah Air (GTA) berhasrat menggunakan lambang obor dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya permohonan pendaftaran gerakan itu diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Jawatankuasa penaja GTA hari ini bertemu Ketua Pengarah RoS Mohd Nawardi Saad bagi menyerahkan dokumen berkaitan serta berbincang berhubung pendaftaran itu.

Pada 4 Ogos lepas, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan GTA yang disertai empat parti iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

“Bagi melayakkan GTA bertanding dalam PRU15 maka kita melakukan proses sewajarnya berdasarkan undang-undang dengan mendaftarkan gabungan politik ini kepada RoS,” kata Dr Mahathir yang juga pengerusi Penaja GTA dalam kenyataan yang dibacakan Ketua Setiausaha GTA Marzuki Yahya di Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Pejuang masih menjalani kuarantin di rumah selepas dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada Ahad lepas. Beliau dimasukkan ke IJN selepas disahkan positif Covid-19 pada 31 Ogos lepas.

Presiden Pejuang yang juga Timbalan Pengerusi Penaja GTA Mukhriz Mahathir berharap permohonan pendaftaran bagi membolehkan GTA menyertai PRU15 nanti dapat pertimbangan sewajarnya daripada  RoS.

Mukhriz berkata GTA menawarkan kepada rakyat satu gabungan baharu yang setanding dengan gabungan sedia ada seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PN).

“Persediaan menghadapi PRU15 sedang berjalan dan parti-parti gabungan bergerak bersama dengan berkongsi kekuatan masing-masing,” katanya. – Bernama, 6 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen