BRITAIN menyekat iklan syarikat barangan pengguna, Unilever berhubung dakwaan “mengelirukan” berkaitan alam sekitar untuk jenama pencuci pakaiannya Persil.
Penguasa Piawaian Pengiklanan (ASA) berkata iklan televisyen itu yang mendakwa Persil “lebih baik kepada planet kita”, gagal menunjukkan manfaat kepada alam sekitar.
Iklan itu yang memaparkan kanak-kanak mengutip sampah di sungai dan pantai, menunjukkan botol Persil diperbuat daripada 50% plastik kitar semula dan cecair detergen mampu membersihkan pakaian pada suhu rendah.
“Kami membuat kesimpulan asas dakwaan ‘lebih baik kepada planet kita’ tidak dijelaskan dengan baik,” kata ASA dalam satu kenyataan.
“Selain itu, dengan ketiadaan bukti menunjukkan kitaran hayat penuh produk berkenaan mempunyai kesan lebih rendah terhadap alam sekitar berbanding rumusan sebelumnya, kami membuat kesimpulan iklan itu berkemungkinan mengelirukan.”
Badan pengawal selia pengiklanan negara itu memutuskan iklan itu tidak boleh disiarkan semula dalam apa saja platform.
Sementara itu, mengulas kepada keputusan itu, Unilever berkata: “Kami kecewa dengan penghakiman ASA terhadap iklan TV ini.
“Kami komited untuk membuat penambahbaikan berterusan kepada semua produk kami untuk menjadikannya lebih mampan dan akan terus melihat bagaimana kami boleh berkongsi perkara ini dengan pembeli kami.” – AFP, 20 Ogos, 2022.
Komen