KERAJAAN UK bersedia melonggarkan peraturan visa sementara bagi menggalakkan lebih ramai pemandu lori asing susulan berdepan kekurangan bekalan bahan bakar, kata laporan hari ini.
Kekurangan pemandu lori tangki telah menyebabkan ramai beratur panjang di stesen minyak dalam tempoh beberapa hari ini.
Ini kerana, orang ramai enggan mempedulikan arahan kerajaan supaya tidak panik membeli bahan bakar selepas beberapa garaj terpaksa tutup berikutan kekurangan penghantaran.
Menurut laporan media, setakat ini 5,000 visa sementara dikeuarkan dalam tempoh singkat ditengah-tengah kekurangan kira-kira 100,000 pemandu kenderaan berat.
Langkah itu akan memperlihatkan pusingan U kerajaan pimpinan Perdana Menteri Boris Johnson yang telah memperketatkan peraturan imigresen pasca Brexit dan berulang kali menegaskan pergantungan Britain terhadap buruh asing mesti ditamatkan.
Johnson cukup tertekan untuk bertindak, setelah kesan pandemik dan Brexit memburukkan kekurangan pengangkutan malah beliau berdepan krisis segera lain termasuk kenaikan harga tenaga.
Selain mengancam bekalan bahan bakar tepat pada masanya, kekurangan pemandu lori telah menyebabkan gangguan dalam penghantaran makanan dan barang keperluan lain.
Barisan kereta yang menunggu di stesen minyak semakin panjang, terutama di tenggara England.
Pejabat Johnson mengesahkan bahawa kerajaan “sedang mencari langkah sementara untuk menghindari masalah dengan segera”.
Jurucakap Downing Street berkata sebarang tindakan akan menajadi ‘sangat terhad’ sambil menegaskan negara ini mempunyai ‘stok bahan bakar yang mencukupi’ dan ‘tidak ada kekurangan’.
Bagaimanapun, pemandu kelihatan kurang yakin hari ini, ketika barisan beratur kembali untuk bahan bakar.
Mike Davey, 56, telah menunggu lebih dari setengah jam untuk mengisi di stesen minyak yang dikendalikan oleh rangkaian pasar raya Tesco di Kent, tenggara London. – AFP, 25 September, 2021.
Komen