Merdeka daripada kerajaan gagal


Fakhrurrazi Rashid

KEMERDEKAAN boleh dianggap sebagai satu nikmat yang sukar ditukar ganti buat sesebuah negara. Mencapai kemerdekaan bukan soal berjuang mati-matian menentang penjajah sahaja, tetapi ia juga soal memberi kedaulatan kepada sesebuah negara mentadbir dan memajukan diri mereka sendiri. 

Naratif mengaitkan kemerdekaan dan berkerajaan sendiri ini tidak dibincangkan secara meluas di khalayak ramai. Perkara ini jika berlarutan boleh mendatangkan kesan buruk kepada struktur pemerintahan negara dalam mengatasi cabaran masa hadapan.  

Lebih enam dekad Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, sebuah konsep tadbir urus yang menekankan kepentingan kerajaan bertanggungjawab kepada Parlimen dalam setiap keputusan dibuat. Parlimen pula berperanan untuk menyemak keputusan kerajaan agar tidak bercanggah dengan harapan rakyat.  

Namun, lebih enam dekad inilah rakyat menyaksikan bagaimana isu rasuah dan ketirisan kian parah dalam kerajaan. Salah guna kuasa dan manipulasi Parlimen badan eksekutif menjadi alat untuk menggugat struktur pentadbiran negara. 

Pada satu ketika, seluruh dunia mengenali Malaysia sebagai negara kleptokrasi kerana skandal 1MDB dan penyelewengan dana rakyat secara besar-besaran yang dilakukan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN). Maruah Malaysia diaibkan apabila perdana menteri ketika itu dikenali sebagai pencuri di seluruh dunia. 

Sambutan kemerdekaan kali ini diraikan dengan berita penahanan Najib Razak yang akhirnya dipenjarakan selama 12 tahun akibat penyelewengan dana RM42 juta SRC International. 

Tindakan ini membuktikan Malaysia mampu melawan kes penyelewengan berprofil tinggi yang sebelum ini ‘kebal’ daripada sebarang pendakwaan mahkamah.

Perkara ini mustahil berlaku tanpa penglibatan rakyat yang sedar bahawa mereka perlu memilih kerajaan yang berintegriti pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Mereka telah meletakkan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya kerana agenda reformasi institusi yang ditawarkan amat penting untuk memulihkan imej integriti kerajaan.

Tadbir urus negara disabotaj 

Malangnya, komitmen PH terjejas selepas berlaku politik ‘lompat-melompat’ segelintir pemimpin PH yang mahu keluar daripada kerajaan kerana termakan dengan sentimen kaum dan agama dimainkan pihak lawan. 

Kerajaan Perikatan Nasional (PN), yang turut disokong Umno, telah ditubuhkan dengan imej sebagai kerajaan Melayu-Islam bagi menggantikan PH yang didakwa dikuasai oleh DAP. 

Tembelang PN akhirnya terbongkar setelah mereka gagal menguruskan krisis Covid-19 dan politik dengan baik. Mereka telah memanipulasi sistem demokrasi berparlimen dan mengelirukan Yang di-Pertuan Agong untuk kekal berkuasa. Ini adalah sabotaj terbesar yang meranapkan keyakinan orang ramai terhadap institusi pentadbiran negara. 

Maka, tidak hairanlah jika rakyat menggelarkan PN sebagai “Kerajaan Gagal”. Pentadbiran #KerajaanGagal ini diteruskan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang tersepit antara desakan Umno yang mahu Parlimen dibubarkan segera agar PRU15 diadakan dan keperluan rakyat untuk bangkit semula daripada krisis Covid-19. 

PRU15 akan diadakan bila-bila masa dan ia memberi peluang sekali lagi kepada rakyat menentukan kerajaan yang akan mentadbir negara dalam tempoh lima tahun lagi. Boleh jadi, untuk sambutan kemerdekaan ke-66 pada tahun 2023, rakyat Malaysia akan diperintah oleh kerajaan baharu. 

Perubahan tarikh pembentangan Belanjawan 2023 yang diawalkan pada bulan Oktober dan tindakan Ismail Sabri yang dilaporkan mahu membentangkan belanjawan itu sendiri, meskipun kebiasaannya akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, telah memberi isyarat jelas bahawa PRU15 semakin hampir berlaku.  

Persoalannya, apakah Ismail Sabri juga berani menjawab setiap pertanyaan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen dalam sesi penggulungan Belanjawan 2023? 

Jika Belanjawan 2023 dibahaskan, apakah Ismail Sabri yakin beliau akan mendapat majoriti selesa, khususnya daripada Umno? 

Atau Ismail Sabri akan terus membubarkan Parlimen tanpa membahas atau meluluskan Belanjawan 2023? 

Persoalan-persoalan ini yang akan mula bermain apabila pembentangan Belanjawan 2023 makin hampir. 

Semua parti politik kini sedang melakukan persiapan untuk berhadapan dengan pilihan raya. PH masih mengumpulkan tenaga untuk mencari rentak bagi memastikan usaha mentadbir semula Putrajaya dapat direalisasikan. PN belum dapat memutuskan sama ada terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain bagi mengalahkan Umno-BN. 

Kembali kepada Perlembagaan Persekutuan

Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah keterdesakan Umno untuk menjadi kerajaan bagi membebaskan pemimpin utama mereka yang terpalit dengan skandal rasuah. 

Ada pula pemimpin secara terbuka menawarkan pendekatan menyalahgunakan peranan Peguam Negara untuk memudahkan urusan pihaknya dalam kes pendakwaan di mahkamah.

Ada segelintir pemimpin juga, tanpa segan silu meminta Perdana Menteri campur tangan proses mahkamah untuk menyelamatkan pemimpin yang terpalit dengan rasuah. 

Apakah wajar sekiranya Malaysia ini ditadbir oleh pihak yang sesuka hati menggunakan jentera kerajaan demi mempertahankan pemimpin terpalit dengan isu integriti? 

Hari Kebangsaan kali ini sepatutnya menjadi pemangkin kepada rakyat Malaysia melihat kepentingan mempunyai kerajaan yang benar-benar serius dalam memperkasa integriti dan memulihkan ekonomi negara di tahap yang lebih produktif. 

Faktanya, Malaysia tidak mampu lagi menanggung kerugian mempunyai #KerajaanGagal dan Kleptokrasi untuk lima atau 10 tahun akan datang.

Rakyat perlu kembali kepada semangat dan prinsip berdasarkan Perlembagaan Persekutuan untuk membentuk sebuah kerajaan berfungsi dan selari dengan nilai demokrasi. Idea-idea yang bertentangan dengan prinsip ketelusan seperti campur tangan eksekutif dalam proses mahkamah seharusnya ditolak habis-habisan. 

Kelemahan yang diulang-ulang ini bakal menjadikan kerajaan mudah melampaui batas dan merosakkan hak asasi rakyat dalam pelbagai sudut. 

Jika rakyat memilih kerajaan yang berintegriti dan telus, sudah pasti nikmat kemerdekaan negara dapat dipertahankan dan pengurusan ekonomi rakyat akan bertambah baik. Jika tidak, Malaysia bakal berdepan dengan krisis kepimpinan yang akan mengulangi kesalahan lampau dan menjejaskan kemajuan negara.  

Persoalannya, apakah rakyat Malaysia mampu merdeka daripada ditadbir #KerajaanGagal dan kleptokrasi dalam PRU15? Atau masih tersekat di tempat yang sama kerana balas budi Abah dan Bossku? – 31 Ogos, 2022.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen