Membaca Tunku Abdul Rahman di Bulan Kebangsaan


Naim Al-Kalantani

PAGI yang dijanjikan, bertempat di Bangsar, kami hadir semangat untuk berjumpa dengan Profesor Kobkua Suwannathat-Pian. Saya difahamkan beliau susah untuk dirapati. Tetapi kami dikhabarkan daripada penterjemah bukunya, Mardhiyyah Abadan, profesor sudi untuk berjumpa kami.

Kami masuk sahaja ke restoran, Mardhiyyah dan profesor sudah sampai dan sedang berbual. Saya seperti biasa, memang teruja bertemu dengan tokoh akademik – walaupun sebenarnya saya tidak mengenalinya dan baru mendengar namanya ketika IBDE menterjemah buku ini – banyak diam, merakam beberapa momen sambil menikmati hirisan fish and chips.

Ketika mereka rancak berbual, saya ingat-ingat lupa sama ada saya atau orang lain yang bertanya kepada profesor, “Kenapa Tunku?” Tidak kisahlah siapa yang bertanya, tapi itulah sebab utama saya menyertai rombongan itu berjumpa dengan profesor.

Kami tiada rakaman ketika itu. Hanya ada pun rakaman tidak ada suara untuk kandungan TikTok. Profesor bukan orang yang mahu ke ‘depan’ menghadap penonton. Dia hanya menyiapkan kerjanya sahaja dan berbakti dalam dunia akademik dan sejarah.

“Tunku negarawan sejati. Tiada tokoh lain dapat menandinginya. Bagi saya, beliau seorang yang patut disanjung tinggi atas baktinya.” Saya cuba menyusun kembali jawapan-jawapan yang diberikan.

Kami berbual panjang. Fasal Tunku. Fasal akademik. Fasal sejarah. Daripada pemerhatian dan pendengaran saya, profesor memang menulis Tunku: An Odyssey of a Life Well-Lived and Well-Loved dengan penuh keikhlasan dan dedikasi.

Lama selepas itu barulah saya berkesempatan untuk membacanya. Saya rasa ia kebetulan, terdetik di hati membacanya selari dengan bulan kebangsaan tahun ini. Apabila diselak halaman penghargaan, ya, memang ada aura keikhlasan profesor menulis buku ini.

Banyak buku Tunku yang ada di sana. Tulisan-tulisan Tunku pun kita masih boleh temui walaupun agak sukar; pojok ataupun buku daripada beliau sendiri, ataupun buku mengenai beliau yang ditulis oleh pengarang lain bersepah banyaknya di luar sana.

Tapi ada satu keistimewaan buku hasil tulisan Profesor Kobkua Suwannathat-Pian ini, beliau menulis dari sudut pandang Tunku sebagai seorang manusia. Kebanyakan buku di luar sana, menulisnya dari sudut pentadbiran, politik dan ideologinya, tetapi bagi profesor, Tunku adalah seorang manusia dan perlu juga ditanggapi sebagai seorang manusia.

Membaca halaman awal, cukup menarik. Gayanya bersahaja. Bahasanya lunak. Naratifnya ada yang berulang-ulang memberitahu pembaca bahawa ada poin yang lepas terkait dengan perkara yang sedang dibaca. Keperibadian Tunku sangat menarik. Inilah sisi yang jarang diketahui oleh masyarakat awam khususnya rakyat Malaysia.

Beberapa hal menarik yang perlu kita ketahui, walaupun asalnya Tunku ‘makan menggunakan sudu perak’, tetapi bukanlah itu pengakhirannya.

Ia penting diketengahkan kerana sebenarnya dialah yang dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang paling miskin. Pendidikan yang beliau jalani di London bukan dengan kekayaan harta benda daripada legasi terdahulu, bahkan dia pernah menjual rumah yang diwarisi daripada emaknya di Pulau Pinang apabila duitnya habis. Duit pencen jawatan PM bernilai $4,000 juga tidak dapat dinikmatinya. Kerajaan mengambilnya untuk melunaskan hutang cukainya yang terdahulu.

Ramai yang menganggap putera raja ini mentereng dengan luah kekayaan setiap masa. Sebenarnya banyak kepedihan dan kesedihan yang beliau alami. Bermula daripada kembalinya  beliau ke Tanah Melayu, bekerja sebagai penjawat awam. Ketika beliau penjawat jawatan sebagai Pegawai Daerah, pernah dia dicop sebagai pegawai kerajaan yang tidak bagus. Sebenarnya pandangan itu daripada penjajah dan golongan yang tidak mahukan perubahan.

Banyak lagi kisah-kisah tragis yang berlaku. Ada satu ketika gajinya kurang $100 daripada pekerja British yang lain walhal beliau mempunyai pendidikan yang lebih tinggi daripada pegawai pelatih British yang baru. Beliau berkeras. Akhirnya apa yang beliau terima? Beliau ditukarkan bertugas ke Padang Terap.

Tunku sangat berdedikasi dalam melaksanakan apa jua tugasnya. Beliau boleh membezakan masalah peribadi dengan masalah kerja. Sehinggakan beliau kehilangan isterinya akibat tersalah ubat, pun beliau tidak membalas dendam.

Sejak awal lagi Tunku mahu kawasan Padang Terap itu dibersihkan daripada serangan nyamuk malaria, tetapi tidak diendahkan sehingga meragut nyawa isterinya. Selepas tragedi itu barulah kerajaan negeri terhegeh-hegeh melakukan pembersihan.

Awal hidup Tunku yang semacam inilah menakjubkan. Saya sendiri jika tidak membaca buku ini, mungkin terlepas bibit-bibit peristiwa yang Tunku alami sebelum beliau bergulat dengan politik.

Dunia pekerjaan Tunku sangat rencam, bermula daripada penjawat awam, bangkit menolong Umno yang sedang nazak bertongkat; sebenarnya sangat sukar untuk mengesahkan kenyataan daripada beliau sendiri sebagai “Perdana Menteri paling bahagia di dunia.”

Itulah satu-satunya falsafah yang beliau pegang – kebahagiaan. Sejak awal kepimpinannya, pembaca boleh menilai sendiri beliau tidak mungkin mendekati peperangan dan kemusnahan membawa beliau kepada falsafah ini.

Bagi saya, mungkin frasa ‘Malaysia merdeka tanpa pertumpahan darah’ itu merujuk kepada awal penyertaan Tunku ke dalam Umno. Sebabnya naratif itu jika dilihat sebelum projek menuntut kemerdekaan, kita banyak sahaja pertumpahan darah untuk melindungi Tanah Melayu dan rakyatnya.

Buku ini bukan hanya menceritakan sisi-sisi kemanusiaan Tunku, tetapi di tengahnya, tetap ada cerita bagaimana sebenarnya Tunku dapat berjabat tangan dengan Umno dan akhirnya menang bergaya dalam Pilihan Raya Umum Pertama 1955.

Perkara penting yang wajar kita renung kembali dengan masa ini ialah bagaimana perbezaan pilihan raya yang dijalankan kali pertama (termasuk Pilihan Raya Perbandaran 1952) dengan pilihan raya ketika ini. Kedua-dua ini mempunyai perbezaan yang sangat jauh.

Ketika itu, tiada masalah perebutan kuasa, yang hanya bermain dalam fikiran Tunku ialah bagaimana kesepakatan ketika itu untuk tidak tunjuk kepada penjajahan.

Walaupun Dato’ Onn agak lunak dengan penjajah, tetapi misi setiap pemimpin pada ketika itu – tidak kira kaum – hanyalah satu, mahukan kuasa bagi memudahkan proses untuk menuntut kemerdekaan.

Itulah sebenarnya PRU dijalankan. Pihak yang menang akan dapat gubal dasar dan perlembagaan supaya menjadi lebih baik. Bukannya hanya menang tapi tak datang mesyuarat, dan lebih teruk lagi lepas menang ahli parlimen lesap!

Nak dijadikan cerita juga, bulan Ogos ini juga saya menonton Tanda Putera (2013) dan 1957: Hati Malaya (2007). Kedua-duanya hasil Shuhaimi Baba yang dapat menumpahkan air mata saya ketika menonton beberapa adegan.

Melalui cerita itu, penonton akan dapat lihat penubuhan Umno oleh Dato’ Onn. Parti itu parti berasaskan kaum. Dan ketika itulah saya terfikir kenapa pemimpin pada ketika itu mahukan parti berasaskan kaum? Apakah keperluannya ketika itu? Rupanya jawapan ada dalam buku profesor ini.

Pembentukan Umno bersifat ke-bangsa-an ialah satu keperluan kerana pada ketiak itu, kaum Melayu tidak dapat disatukan tanpa pemimpin mengikut kaum. Keluhuran budi Tan Cheng Lock menyertai Perikatan pun akibat daripada janji Tunku untuk memerdekakan Tanah Melayu secepatnya. Jadi, mahu tidak mahu, kesatuan antara kaum memang diperlukan ketika itu.

Sepanjang-panjang proses mahu menuntut kemerdekaan Tanah Melayu ketika itu, sebenarnya ada ada dua masalah besar. Pertama, masalah Parti Komunis Malaya menjadi pemberontak  menentang British. Oleh itu, British melengahkan kemerdekaan kalau masih ada pemberontakan daripada komunis.

Kedua, jika ada persatuan atau pertubuhan yang dapat meyakini penjajah British, maka mereka akan merdeka. Dari dua hal inilah, dalam buku ini menjawab panjang mengenai Umno, Perikatan dan MCA yang sangat getir dan bersusah payah mencari jalan untuk merdeka.

Penyatuan kaum berjaya, dan Tanah Melayu merdeka. Dan masalah kaum jugalah Tunku meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri. Jika tragedi 13 Mei tidak berlaku dan beberapa masalah kepercayaan terhadap Tunku dapat diatasi, nescaya Tunku masih menjadi Perdana Menteri yang bahagia.

Bila diteliti perjalanan hidup Tunku daripada awal, beliau memang ada wawasan yang jelas. Kita tahu ke mana arah yang beliau tujui. Saya memikirkan itu sehinggalah profesor mengesahkan sendiri di bahagian akhir buku ini, tiada pemimpin di Malaysia ini yang jelas hala tuju negara selain Tunku (dan Mahathir Mohamad).

Kemerdekaan 31 Ogos tahun ini, masih tidak lambat kita selaku warganegara membaca buku yang ditulis dengan penuh dedikasi ini. Juga untuk rakyat Malaysia yang hadir ke perarakan Hari Kebangsaan di dataran, ingatlah bahawa sebenarnya anda di sana di atas jasa Tunku!

Beliaulah yang menubuhkan Majlis Muhibah Negara (selepas beliau mengundur diri dari jawatan PM) dan antara salah satu kejayaan terbesar kempen majlis ini sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos 1969 yang dibuat secara besar-besaran dan di serata negara, terutamanya perarakan ketenteraan yang melalui jalan-jalan Kuala Lumpur yang telah menjadi tempat tragedi 13 Mei.

Lebih merinding lagi, Tunkulah yang menukarkan nama Hari Kemerdekaan kepada Hari Kebangsaan untuk menunjukkan sentimen dan kebanggaan menjadi rakyat Malaysia dalam kalangan semua kaum.– 31 Ogos, 2022.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen