PAS sepatutnya memperjuangkan isu utama yang menjejaskan rakyat berbanding perkara remeh berkait pilihan individu, kata Ahli Parlimen DAP Lim Lip Eng hari ini.
Ahli Parlimen Kepong itu berkata parti Islam tersebut sepatutnya memprotes kenaikan harga roti, bukannya membantah artis antarabangsa yang mengadakan konsert di Malaysia.
“Ini amat penting kerana masalah kenaikan harga makanan ruji seperti roti merupakan masalah yang melanda semua lapisan masyarakat ditambah pula dengan kenaikan harga barangan lain di pasaran, sedangkan pergi konsert adalah hak individu.
“Namun, PAS tidak melihat perkara ini (kenaikan harga) sebagai sesuatu yang mustahak. PAS lebih pentingkan isu remeh seperti muzik berbanding negara barat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, PAS perlu berhenti menggunakan agama untuk memperjuangkan isu sia-sia yang tidak menguntungkan rakyat.
“Banyak lagi masalah yang menular di negara ini yang perlu dititikberatkan seperti rasuah dan inflasi.
Minggu lepas Pemuda PAS mengugut untuk turun ke jalan raya bagi mengadakan bantahan jika Putrajaya terus membenarkan konsert antarabangsa di Malaysia.
Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata konsert muzik menyebarkan “budaya hedonisme” dan bertentangan dengan “norma dan nilai hidup Muslim” di Malaysia.
Semalam, pengeluar roti Gardenia akan menaikkan harga produknya buat kali kedua dalam tempoh kurang setahun bermula 1 September ini.
Menurut Gardenia dalam satu kenyataan yang dikongsi di akaun media sosialnya, syarikat itu terpaksa menaikkan harga rotinya disebabkan kesan inflasi terhadap bahan mentah.
“Mulai 1 September, Gardenia Original Classic 400g berharga RM3 (naik 20 sen), Original Classic Jumbo 600g RM4.30 (naik 30 sen), dan Breakthru Wholewheat 400g RM4 (naik 40 sen),” menurut kenyataan syarikat itu.
PAS adalah sebahagian daripada pakatan pemerintah dalam kerajaan persekutuan. – 29 Ogos, 2022.
Komen