Harga roti Gardenia naik mulai 1 September


Roti Gardenia Original Classic 400g naik 20 sen kepada RM3 manakala Original Classic Jumbo 600g naik 30 sen kepada RM4.30, mulai 1 September. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2022.

PENGELUAR roti Gardenia akan menaikkan harga produknya buat kali kedua dalam tempoh kurang setahun bermula 1 September ini.

Menurut Gardenia dalam satu kenyataan yang dikongsi di akaun media sosialnya, syarikat itu terpaksa menaikkan harga rotinya disebabkan kesan inflasi terhadap bahan mentah.

Kali terakhir pembuat roti popular itu menaikkan harga produknya adalah pada Disember 2021.

“Mulai 1 September, Gardenia Original Classic 400g berharga RM3 (naik 20 sen), Original Classic Jumbo 600g RM4.30 (naik 30 sen), dan Breakthru Wholewheat 400g RM4 (naik 40 sen).”

“Roti gulung krim — vanila, gula mentega dan karamel masin — akan naik 10 sen kepada RM1.10 setiap satu manakala roti Toast ‘Em  akan menyaksikan kenaikan 50 sen kepada RM5.50,” menurut syarikat itu.

Menurut Gardenia, kenaikan caj pengangkutan sejak dua tahun lalu mempengaruhi kenaikan harga keseluruhan.

“Ini adalah pilihan terakhir kami selepas mencuba yang terbaik melalui cara lain untuk mengekalkan kecekapan dan kualiti produk kami.”

“Melihat keadaan itu, kami tidak mempunyai pilihan lain selain menyemak harga produk kami yang terjejas,” menurut syarikat itu dalam jawapan kepada pelanggan di Facebook rasminya. – 28 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen