MEMANDANGKAN kos mengimport tenaga melambung tinggi di seluruh dunia ditambah pula krisis iklim global, minat terhadap tenaga nuklear semakin meningkat dengan beberapa negara berebut mencari sumber alternatif.
Pelaburan dalam tenaga nuklear merosot susulan bencana di Fukushima, Jepun pada 2011 dan kemalangan nuklear terburuk dunia sejak Chernobyl pada 1986 serta meningkatkan kebimbangan kerajaan terhadap keselamatannya.
Namun, berikutan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine pada Februari, tekanan terhadap bekalan tenaga termasuk desakan Eropah untuk melepaskan diri daripada sumber minyak dan gas Russia, permintaan ke atas sumber tenaga nuklear semakin bertambah.
Beberapa kerajaan berdepan keputusan sukar dengan kenaikan bil gas dan elektrik serta ancaman sumber yang terhad hingga menyebabkan penderitaan meluas pada musim sejuk ini.
Sesetengah pakar berpendapat kuasa nuklear tidak boleh dianggap sebagai pilihan, tetapi dalam mendepani krisis yang begitu banyak, ia mesti kekal sebagai sebahagian daripada pembekalan tenaga dunia.
Salah satu negara yang mempertimbangkan semula pembekalan tenaga nuklear ialah Jepun – negara terlibat dalam bencana 2011 yang membawa kepada penggantungan banyak reaktor nuklear berikutan ancaman keselamatan.
Minggu ini Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida menggesa desakan untuk memulihkan industri tenaga nuklear negara itu, dan membina loji atom baharu.
Negara lain yang ingin berpindah daripada nuklear menolak rancangan tersebut – sekurang-kurangnya dalam jangka pendek.
Kurang sebulan selepas serangan Russia ke atas Ukraine, Belgium menangguhkan rancangannya selama sedekad untuk menghapuskan tenaga nuklear pada 2025.
Walaupun kuasa nuklear, yang kini digunakan di 32 negara, membekalkan 10% daripada pengeluaran elektrik dunia, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menaikkan unjurannya pada September buat kali pertama sejak bencana 2011.
IAEA kini menjangkakan kapasiti pembangunan loji atom meningkat dua kali ganda menjelang 2050 susulan senario yang paling menguntungkan. – AFP, 27 Ogos, 2022.
Komen