Pembersihan loji Fukushima ditangguh setahun lagi


Kerja-kerja pembersihan loji nuklear Fukishima ditangguhkan setahun lagi oleh operatornya TEPCO atas faktor keselamatan.– Gambar EPA, 26 Ogos, 2022.

KERJA-kerja membersihkan sisa nuklear dari stesen janakuasa Fukushima yang musnah di Jepun ditangguhkan sekali lagi untuk memastikan keselamatan projek berbilang dekad itu, kata operatornya.

Tokyo Electric Power Co (TEPCO) telah merancang untuk mula mengekstrak serpihan radioaktif daripada salah satu reaktor tahun ini—sudah lewat daripada tarikh mula asal 2021.

Tetapi syarikat itu berkata ia memerlukan “tempoh penyediaan tambahan” sehingga 18 bulan, bermakna kerja itu kini boleh dimulakan selewat-lewatnya pada Mac 2024.

TEPCO dalam satu kenyataan berkata ini adalah perlu “untuk meningkatkan keselamatan dan memastikan kejayaan” mengukur di dalam reaktor dan mengeluarkan sisa berkenaan.

“Jangka masa telah diselaraskan supaya kerja akan dimulakan pada separuh kedua fiskal 2023 yang berakhir Mac 2024,” katanya.

Jurutera sedang memperhalusi lengan robot yang direka khas untuk kerja itu, termasuk melaraskan kelajuan dan ketepatannya, kata TEPCO.

Tsunami pada 11 Mac 2011 menyebabkan kemusnahan di loji nuklear Fukushima Daiichi di timur laut Jepun, kemalangan nuklear paling teruk di dunia sejak Chernobyl. – AFP, 26 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen