Melihat kecanggungan naratif GTA


Fakhrurrazi Rashid

PENDEDAHAN ketirisan pembinaan kapal pesisir pantai (LCS) dan nasib Najib Razak yang hampir ke penjara membuktikan betapa kroniknya isu integriti dan ketirisan yang berlaku dalam pentadbiran negara di bawah UMNO- Barisan Nasional (BN) selama berpuluh tahun. 

Dari sudut yang berbeza, ia menunjukkan keputusan rakyat menolak UMNO dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) itu tepat. Perjuangan menegakkan kerajaan berintegriti dan bersih itu mustahak. Cerita dongeng Umno-BN untuk mengaburi pemikiran rakyat tentang skandal rasuah mereka ternyata benar.

Jika perjuangan ini membawa impak yang besar kepada rakyat dan negara, bukankah kita sepatutnya memperkukuh dasar integriti ini pada PRU15? Tidakkah ini satu pendekatan yang mujarab untuk mengalahkan Umno-BN?

Malangnya, perkembangan positif ini tidak digarap sepenuhnya oleh segelintir ahli politik Melayu. Mereka sanggup patah balik untuk membina naratif kaum bagi melawan UMNO-BN. Sebab ini juga gabungan parti politik Melayu diapanggil Gerakan Tanah Air (GTA) ditubuhkan. 

GTA berhasrat menjadi platform kepada orang Melayu untuk menolak pemimpin dan parti Melayu yang korup, khususnya UMNO. Mereka mahu memperjuangkan nasib orang Melayu-Islam yang didakwa masih bergelumang dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Bagi mereka, isu integriti dan Melayu ini penting memandangkan kebanyakan pemimpin Melayu dalam pejabat awam cenderung mengkhianati tugas dan terpalit dengan rasuah. Oleh itu, GTA menawarkan barisan pemimpin yang jujur dan amanah dalam PRU15 kepada orang Melayu.

Peliknya, mengapa GTA masih membebankan orang Melayu sahaja dalam usaha membasmi rasuah? Adakah rasuah hanya ditakdirkan untuk satu kaum sahaja?

Jauh dari realiti

Persoalan ini menunjukkan betapa kakunya GTA dalam mengaitkan integriti dan rasuah dengan sesuatu kumpulan atau etnik. GTA seperti membentuk “bubble” yang menjauhkan orang Melayu daripada realiti politik dalam melawan rasuah dan ketirisan yang lebih rumit.

Mengapa mahu jadi katak di bawah tempurung? Bukankah melawan parti rasuah bersama itu lebih berkesan?

Pemikiran politik lama yang didendangkan oleh sebilangan ahli politik Melayu  yang mengaitkan orang Melayu pemalas, perasuah, dan boros inilah menjadi faktor kerajaan PH bertahan selama 22 bulan.

Sebenarnya, kewujudan GTA hanyalah reaksi tempang pemimpin Melayu yang mudah termakan dengan provokasi kaum dan agama yang dimainkan Umno-BN. Dan, ia bukan satu naratif tepat untuk mengalahkan UMNO-BN pada PRU15.

Pasca PRU14 memberi ruang kepada kewujudan gabungan parti politik Melayu kononya ingin menyelamatkan orang Melayu-Islam yang terancam waktu itu. Pertama, UMNO-PAS menubuhkan Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2019 dengan tujuan mengembangkan naratif Islam dan Melayu. 

Kedua, wujud pula gabungan politik dipanggil Perikatan Nasional (PN) yang cuba membawa imej kerajaan Melayu-Islam sebagai hujah untuk menggantikan kerajaan PH yang didakwa mengancam orang Melayu.

GTA tidak sedar?

Apa persamaan MN dan PN yang ingin menegakkan naratif Melayu-Islam? Kedua-duanya dihancurkan oleh Umno setelah mereka kembali berkuasa dengan menjatuhkan kerajaan PH dan Muhyiddin Yassin. Adakah perkara ini tidak disedari GTA?

Dari sudut percaturan pilihan raya, GTA sukar menarik ramai pengundi Melayu. Pertama, imej ultra Melayu yang dibawa parti komponen GTA tidak cocok dengan pemikiran majoriti pengundi Melayu yang lebih sederhana, khususnya kumpulan belia dan atas pagar.

Contohnya, pendirian Parti Pribumi Pesaka Malaysia (Putra) yang didakwa menolak kerjasama dengan orang bukan Melayu atas dakwaan manipulasi ekonomi tidak akan menarik lebih ramai pengundi Melayu memandangkan majoriti mereka masih percaya kepentingan bekerjasama dengan semua kaum untuk mentadbir negara.

Kedua, rekod prestasi parti politik dalam GTA yang selalu kalah dan hilang deposit menjadi faktor pengundi Melayu tidak memilih GTA. Putra tewas dan hilang deposit di semua kerusi yang mereka tandingi di pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) juga kalah dan hilang deposit di semua kerusi mereka tandingi dalam PRN Johor. Perkara ini berbeza sekali dengan prestasi PN dan PH yang masih memenangi beberapa kerusi pada PRN Johor dan Melaka. Bukankah ini hanya membuktikan formula ‘parti Melayu lawan parti Melayu’ yang diketengahkan GTA tidak akan berhasil?

Sebab itu kewujudan GTA penuh dengan persoalan. Naratif yang cuba dibina hanya bersifat peribadi dan untuk marah kawan dalam parti lain yang turut melawan Umno-BN.

Realitinya, ia bukan kerja mudah untuk meyakinkan pengundi Melayu menerima perubahan dan menolak pemimpin korup dalam bangsanya. Tetapi, langkah politik menaikan sentimen kaum dalam kalangan orang Melayu melawan rasuah juga bukan peluru tunggal untuk menumbangkan parti yang korup.

Menolak Umno kali kedua

Pasca PRU14 menyaksikan politik orang Melayu berkembang secara evolusi. Bermaksud, mereka sudah menerima idea reformasi institusi dan politik berintegriti satu persatu. Meskipun sedikit, tetapi mereka sudah berani membincangkan perkara ini dikhalayak ramai secara terbuka.

Ia juga memberi keyakinan kepada orang Melayu untuk menuntut kerajaan yang lebih berfungsi selain Umno-BN dan PAS.

Malangnya, perubahan evolusi ini tergugat kerana sikap majoriti ahli politik Melayu yang tidak jujur dan gila kuasa setelah menjadi kerajaan pasca Langkah Sheraton. Dan, kebanyakan pengundi Melayu melihat GTA bakal mengulangi kesilapan Umno. Bersatu, dan PAS.

Perkara paling besar yang bakal mencipta sejarah politik negara pada PRU15 adalah menolak UMNO-BN untuk kembali ke Putrajaya buat kali kedua. Penolakan ini boleh memberi ruang kepada kerajaan baharu menyiasat kes-kes rasuah yang masih belum selesai sejak PRU14.

Jika pengundi memilih Umno-BN yang tidak habis-habis terpalit dengan isu integriti pada PRU15, itu namanya bukan perubahan tetapi ‘patah balik’. Perkara ini yang merugikan rakyat dan menggembirakan kluster mahkamah.

Hakikatnya, PRU15 ini bakal menentukan banyak perkara. Tetapi, kita harus sedar bahawa negara memerlukan pemimpin yang berkemampuan dan berintegriti untuk mentadbir negara.

Saya percaya, sekiranya rakyat Malaysia berjaya memilih kerajaan yang benar-benar jujur, berfungsi, dan berintegriti pada pilihan raya akan datang, sudah pasti kesejahteraan rakyat dapat dijaga dengan baik.

Jika tidak, pemimpin yang terpalit dengan isu integriti bakal menguasai kerajaan. Setiap kes dan siasatan mengenai ketirisan wang rakyat juga akan cuba dihentikan oleh UMNO-BN demi kepentingan diri mereka sekiranya memenangi PRU15. – 24 Ogos, 2022.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia. Kini, menjadi Koordinator Penyelidik Research For Social Advancement (REFSA), badan pemikir yang progresif dan percaya Malaysia yang lebih baik untuk semua masyarakat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen