Polis tahan lelaki miliki lebih setengah juta batang rokok tanpa cukai


POLIS menahan seorang lelaki dan merampas 559,560 batang rokok tanpa cukai miliknya selepas menyerbu sebuah rumah di Bukit Treh, dekat Muar, tengah hari semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muar Supt Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata lelaki berumur 36 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh Pasukan Risik Batalion 6, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri bersama Pasukan Task Force Kontraban Polis Johor pada kira-kira pukul 12 tengah hari.

Beliau berkata 179,160 batang rokok kretek, 380,400 batang rokok putih itu dirampas dalam serbuan yang dibuat selepas intipan selama seminggu, dan turut dirampas adalah sebuah kereta jenis Perodua Alza, dengan anggaran nilai rampasan RM649,447.40.

“Kita percaya suspek adalah pemilik rokok tanpa cukai yang dijual di sekitar daerah Muar, dan kita juga percaya suspek mempunyai rakan yang menjual rokok itu. Siasatan awal juga mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, hari ini.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1), Akta Kastam 1967 dan jika disabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak kurang daripada nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar.

Muhammad Aidil berkata suspek juga boleh dipenjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – Bernama, 23 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen