GABUNGAN pembangkang Guinea pada Sabtu menggesa protes baharu sehari selepas junta menolak dakwaan tentera menembak mati dua remaja pada demonstrasi pembangkang awal minggu ini.
Pada Rabu, pakatan pembangkang, anggota keluarga mangsa serta jiran mangsa berkata pasukan keselamatan di ibu negara Guinea telah menembak mati dua remaja ketika konvoi melalui ibu kota Conakry semasa protes terhadap junta.
Barisan Nasional untuk Pertahanan Perlembagaan (FNDC) menuduh junta pimpinan Mamady Doumbouya telah membunuh dua remaja itu yang masing-masing berusia 17 dan 19 tahun.
Jurucakap Junta Amara Camara berkata dalam satu kenyataan: “Khabar angin mengenai tembakan yang dilepaskan dari konvoi presiden adalah palsu dan tidak berasas.”
Namun FNDC, gabungan parti politik, kesatuan sekerja dan organisasi masyarakat sivil, menggesa protes baharu dalam mesej yang disiarkan di media sosial pada Sabtu. Junta mengharamkan kumpulan itu awal bulan ini.
Gabungan itu mengadakan perhimpunan pada 28 dan 29 Julai di mana lima orang terbunuh. Ia menggesa demonstrasi pada Rabu lepas, yang turut dilarang oleh junta, di mana kedua-dua remaja itu ditembak mati.
Ibrahima Balde terbunuh akibat peluru yang dilepaskan oleh anggota pasukan keselamatan di Wanidara, pinggir bandar Conakry yang pernah menjadi tempat pertempuran, kata bapanya Mohamed Cherif kepada AFP.
Seorang saudara remaja lelaki itu, yang enggan namanya disiarkan, berkata dia terkena tembakan askar ketika konvoi ketua junta melalui kawasan kejiranan.
Oumar Barry, seorang pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun, meninggal dunia kemudiannya di daerah Koloma. “Mereka menembaknya di perut di Koloma,” kata jirannya, Pathe Diallo. – AFP, 21 Ogos, 2022.
Komen