Protes antijunta lumpuhkan ibu negara Guinea


Penunjuk perasaan mendirikan penghadang dan membakar tayar manakala polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan kecil yang membaling batu. – Gambar Facebook, 29 Julai, 2022.

BANTAHAN terhadap junta Guinea dan pengendalian untuk kembali kepada demokrasi menyebabkan ibu negara itu terganggu pada Khamis, dengan penganjur mendakwa seorang terbunuh.

Protes yang dirancang minggu lalu, bermula lebih awal daripada komen oleh pengerusi blok serantau yang mendakwa telah memujuk junta untuk memendekkan garis masanya supaya kembali kepada demokrasi. Pihak junta belum mengesahkan komennya.

Barisan Nasional untuk Pertahanan Perlembagaan (FNDC) berkata seorang maut selepas terkena peluru di pinggir bandar Conakry, Hamdallaye, manakala beberapa lagi cedera.

FNDC merupakan gabungan politik berpengaruh yang telah menggesa demonstrasi selain mengecam “pengurusan secara sepihak” junta untuk kembali ke pemerintahan awam selepas ia merampas kuasa pada 2021.

Pihak berkuasa belum mengesahkan kematian itu.

Pada Khamis pendakwa raya di beberapa kawasan diarahkan mengambil tindakan undang-undang segera terhadap penganjur demonstrasi yang dilarang.

FNDC telah menuduh pemimpin tentera “secara sistematik enggan” untuk mewujudkan “dialog yang boleh dipercayai” untuk menentukan syarat peralihan.

Bekas Perhimpunan Rakyat Guinea (RPG) yang memerintah dan Perikatan Kebangsaan untuk Perubahan dan Demokrasi (ANAD), satu lagi gabungan parti dan persatuan, kemudian menyeru penyokong mereka untuk menyertai demonstrasi.

Bercakap bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron pada taklimat di Bissau, pengerusi blok wilayah Ecowas Umaro Sissoco Embalo, berkata beliau baru-baru ini meyakinkan junta Guinea untuk mempercepatkan jalan ke arah demokrasi.

“Saya berada di Conakry bersama presiden suruhanjaya (Ecowas) untuk memahamkan junta tentera yang keputusan sidang kemuncak ketua negara menyatakan peralihan tidak boleh melebihi 24 bulan,” kata Embalo.

“Mereka telah mencadangkan 36 bulan, tetapi kami berjaya yakinkan mereka,” tambahnya.

Tetapi Ousmane Gaoual Diallo, menteri Guinea dan jurucakap kerajaan peralihan, memberitahu AFP “kerajaan mahupun presiden tidak mengesahkan maklumat ini mengenai tempoh peralihan di Guinea”.

Pertempuran berlaku pagi Khamis antara penunjuk perasaan muda dan polis di beberapa kawasan yang dilihat sebagai kubu kuat pembangkang di ibu negara, kata seorang wartawan AFP.

Penunjuk perasaan mendirikan penghadang dan membakar tayar manakala polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan kecil yang membaling batu.

Kebanyakan bahagian pusat bandar kekal tenang, tetapi aktiviti masih terhenti.

Boulevard du Commerce, jalan raya utama yang biasanya penuh dengan orang ramai, hampir lengang menjelang tengah hari.

“Kami gembira dengan kejayaan seruan kami untuk berdemonstrasi,” Ibrahima Diallo, ketua operasi FNDC, memberitahu AFP.

“Bandar ini sunyi di mana-mana, pentadbiran lumpuh – ia merupakan satu kejayaan besar bagi kami.” – AFP, 29 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen