Jangan cuba cabar kredibiliti PAC, kata Wong kepada Nur Jazlan


JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) adalah bebas dan tidak boleh digunakan sebagai modal politik oleh ahli politik, kata pengerusinya Wong Kah Woh.

Wong berkata demikian sebagai menjawab dakwaan bekas pengerusi PAC Nur Jazlan Mohamad yang mendakwa pembangkang mengambil kesempatan menggunakan laporan jawatankuasa itu berkaitan isu perolehan enam kapal tempur pesisir (LCS) sebagai modal menyerang Barisan Nasional (BN) dan Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“PAC bebas, jangan cuba cabar kredibiliti PAC,” kata Wong kepada Nur Jazlan.

“Kamu nak cari jalan keluar politk, kreatif sikit, itu tiada kena mengena dengan PAC, jangan sentuh PAC.”

Wong berkata, laporan yang disiarkan PAC bukan berasaskan emosi, tetapi fakta.

“Laporan PAC merupakan hasil konsensus kesemua ahli-ahli PAC. Yang duduk dalam PAC, dari kedua-dua blok Parlimen, semua satu hati, hendak memastikan wang rakyat dilindungi. Khalas.”

Menjawab dakwaan Nur Jazlan yang beliau bukan akauntan bertauliah dan oleh itu tidak mahir dalam perkara tersebut, Wong berkata orang ramai perlu membaca dan menilai laporan PAC ketika ini dan semasa Nur Jazlan jadi pengerusi.

“Rakyat boleh membaca laporan-laporan PAC yang disediakan semasa Nur Jazlan ‘yang amat arif’ menjadi pengerusi PAC (Jun 2013–Julai 2015) dan laporan-laporan PAC yang disediakan semasa saya ‘yang tidak mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan’ menjadi pengerusi PAC (Ogos 2020–sekarang),” kata Wong.

Wong bagaimanapun memuji Nur Jazlan ketika menjadi pengerusi PAC, berkata beliau buat kerja bagus menyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tetapi letak jawatan sebelum laporan itu siap dan sebaik sahaja Nur Jazlan dilantik jadi timbalan menteri.

“Nur Jazlan patut menggunakan kearifan beliau untuk membantu PAC pada ketika itu, habiskan laporan muktamad PAC 1MDB dahulu. Show that you are different lah!

“Lepas dilantik (jadi timbalan menteri), diam seribu bahasa.

“Sekarang, hendak tuduh dan jatuhkan kredibiliti PAC. Kepada bekas pengerusi PAC yang amat arif, I thought you can be better!” kata Wong. – 19 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen