Pakatan guna laporan PAC modal untuk PRU15, dakwa Nur Jazlan


BEKAS pengerusi PAC Nur Jazlan Mohamed mendakwa PH ambil kesempatan menggunakan laporan jawatankuasa itu berkaitan isu LCS sebagai modal serang BN dan Umno menjelang PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2022.

BEKAS pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Nur Jazlan Mohamed mendakwa Pakatan Harapan (PH) mengambil kesempatan menggunakan laporan jawatankuasa itu berkaitan isu perolehan enam kapal tempur pesisir (LCS) sebagai modal menyerang Barisan Nasional (BN) dan Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan pengerusi perhubungan Umno Johor itu berkata PH juga cuba mengaitkan pimpinan Umno dan BN dengan kegiatan rasuah melalui projek tersebut sedangkan laporan PAC jelas tidak menyatakan wujud unsur rasuah dalam isu skandal pembinaan LCS.

“Dalam laporan perolehan LCS setebal 169 muka surat oleh PAC, tak ada pun PAC sebut ada berlakunya rantaian kewangan ataupun rasuah yang wujud sama ada antara perdana menteri dan bekas menteri pertahanan.

“Jadi celah mana dalam laporan PAC itu yang pemimpin PH kata orang Umno songlap duit?” kata Nur Jazlan, dalam kenyataan di media sosial miliknya, hari ini.

Laporan PAC sebaliknya kata Nur Jazlan mendedahkan punca kelewatan disebabkan isu keseragaman dan isu pengurusan antara kontraktor utama, iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang merupakan anak syarikat di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan sub kontraktor di Perancis dan Jerman.

PAC yang disertai ahli Dewan Rakyat rentas parti dipengerusikan Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh.

Selain itu, Nur Jazlan turut mempersoalkan kelemahan di dalam siasatan PAC berkaitan perkara itu yang antara lain tidak menyatakan secara terperinci 15% stok bernilai RM1.7 bilion yang dikatakan usang.

“Sepatutnya PAC perlu nyatakan secara terperinci mana stok yang usang dan tak usang, tak bolehlah main pukul sama rata saja, kecualilah memang ada niat untuk dijadikan bahan politik PRU15,” katanya.

Bekas ahli Parlimen Pulai itu berkata stok tersebut menjadi lusuh disebabkan penangguhan pembinaan selama hampir tiga tahun ketika PH memerintah dan Presiden Amanah Mohamad Sabu merupakan menteri pertahanan waktu itu.

“Malah CEO LTAT, Ahmad Nazim juga sudah jelaskan, pembinaan enam kapal itu dibuat secara serentak dan stok pula dibeli secara pukal kerana lebih murah, jadi bila masa zaman kerajaan PH ambil tindakan untuk bekukan projek (hampir tiga tahun) untuk buat audit forensik maka stok itu terbiar.

“Jadi memang ada sesetengah komponen seperti TV LCD ke yang sudah lapuk,” katanya.

Laporan PAC juga, kata Nur Jazlan tidak menyebut kontraktor berhak mendapatkan tambahan masa disebabkan penangguhan projek oleh kerajaan.

“Ada pemimpin PH yang tak faham pasal terma dalam kontrak tapi nak bercakap macam dia tu seorang pakar, mereka persoalkan dan tuduh BNS ni kroni kepada Najib dan sebab itulah syarikat di bawah LTAT itu tak kena tindakan denda lewat atau LAD,” kata Nur Jazlan.

Menurutnya, denda lewat atau LAD hanya dikenakan sekiranya projek gagal disiapkan melebihi tempoh kontrak disebabkan faktor kelemahan kontraktor.

“Tapi dalam isu LCS ini kerana ada arahan daripada kerajaan untuk bekukan projek sepatutnya kontraktor ada hak untuk dapat tambahan masa dan juga pampasan.

“Yang peliknya PAC tak ada sebut pun pasal perkara ini dalam laporan mereka. Jadi tak ada isu pun kerajaan masa itu cuba nak lindungi kroni macam pembangkang dakwa,” katanya.

Tambah Nur Jazlan, kenyataan Pengerusi PAC Wong Kah Woh dalam isu LCS dipercayai mempunyai kesan negatif kepada syarikat sub kontraktor.

“Saya dengar cerita pun, semalam syarikat Jerman Rheinmetall Air Defence AG tak puas hati dengan tindakan PAC kerana telah menjejaskan imej syarikat mereka.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh pengerusi PAC itu tidak adil dan mempunyai kesan negatif kepada syarikat sub kontraktor, lembaga pengarah dan Auditor Big Four PWC yang meneliti serta melakukan audit bertahun-tahun kepada syarikat BHIC yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Laporan Audit yang disahihkan oleh lembaga pengarah dan firma audit profesional bertaraf dunia itu tidak pernah menyebut berlaku salah laku atau rasuah dalam projek LCS selama ini,” katanya.

Beliau tidak menolak syarikat sub kontraktor antarabangsa berkenaan juga mungkin terpaksa mengambil tindakan kepada pengarah Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) untuk membersihkan nama mereka.

“Terutamanya pengarah yang menjadi saksi kepada PAC untuk membersihkan nama mereka kerana projek ini didokong oleh kontrak yang ditandatangani oleh BHIC dan mereka yang disahkan oleh Lembaga Pengarah dan PWC.

“Sebenarnya kelewatan projek LCS ini memang berlaku pada zaman BN tapi keadaannya lebih teruk bila PH memerintah.

“Mereka arahkan audit forensik dibuat terhadap projek itu sampai kerja-kerja pembinaan terpaksa dihentikan, kalaulah menteri pertahanan PH tu cerdik, dia cuma perlu arahkan siasatan sahaja tapi dalam masa sama projek boleh diteruskan, maka tak adalah isu kelewatan kapal siap,” kata Nur Jazlan. – 18 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen