KERAJAAN Melaka mesti menjelaskan bagaimana dan mengapa projek Melaka Gateway diluluskan untuk diteruskan tanpa laporan Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling(EIA), kata Khoo Poay Tiong hari ini.
Ahli Parlimen Kota Melaka itu menggesa kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) agar segera mengeluarkan arahan menghentikan kerja projek itu sehingga siasatan dan penjelasan penuh dibuat mengenai status laporan EIA mengenainya.
“Saya merujuk kepada jawapan Parlimen oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (bertarikh 8 Ogos) kepada soalan saya sama ada projek Melaka Gateway mendapat kelulusan EIA atau tidak, dan bila kelulusan itu diberikan.
“Anehnya, menteri mendedahkan projek Melaka Gateway, di bawah KAJ Development Sdn Bhd, tidak pernah mengemukakan sebarang laporan EIA kepada JAS.
“Kegagalan projek Melaka Gateway mengemukakan laporan EIA adalah bertentangan dengan Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekitar 2012 dan Perintah Kualiti Alam Sekitar (Aktiviti Ditetapkan) (Penilaian Kesan Alam Sekitar) 2015.
“Laporan EIA mesti dikemukakan dan diluluskan oleh JAS untuk sebarang penebus gunaan tanah melibatkan pulau buatan manusia atau keluasan melebihi 50 hektar. Tiada projek harus dimulakan sehingga dan melainkan EIA telah diluluskan oleh JAS,” kata ahli Parlimen DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.
Projek Melaka Gateway dilancarkan pada 2014 oleh perdana menteri ketika itu Najib Razak, dan sepatutnya memulakan kerja pada 2018 dan siap pada 2025. Bagaimanapun ia dibatalkan pada 2020 apabila Pakatan Harapan mengambil alih kuasa.
Baru-baru ini kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional menyerahkan semula projek itu kepada pemaju.
Projek itu melibatkan tebus guna tanah seluas 1,366 ekar di Selat Melaka, dengan kos pembangunan yang diunjurkan sebanyak RM42 bilion.
Ia dianggarkan mewujudkan lebih 40,000 pekerjaan, membawa masuk 2.5 juta pelancong setiap tahun, dan menjana RM1.19 trilion untuk ekonomi tempatan.
Khoo berkata projek itu bukan sahaja gagal menunaikan janjinya tetapi juga menyebabkan kerosakan alam sekitar yang besar di pantai Melaka.
“Projek itu memberi kesan buruk kepada masyarakat nelayan di Bandar Hilir dan Duyong.
“Ia juga menjejaskan warisan budaya masyarakat Kristang yang unik di Penempatan Portugis.
“Projek Melaka Gateway, serta yang lain di sepanjang pantai, mencetuskan hakisan pantai dan gangguan kepada sistem pengairan, yang menyumbang kepada peningkatan kekerapan banjir kilat di negeri ini,” katanya.
Khoo mengulangi gesaan agar kerajaan menjelaskan bagaimana projek besar itu dibenarkan diteruskan walaupun laporan EIA tidak dikemukakan dan diluluskan.
Ketiadaan ketelusan menyebabkan keraguan besar berhubung integriti dan daya maju projek itu, jelas Khoo.
Khoo berkata beliau akan berunding dengan masyarakat tempatan dan pakar undang-undang mengenai kemungkinan memulakan tindakan undang-undang mengenai isu ini.
Beliau berkata kesejahteraan rakyat dan alam sekitar Melaka harus dilindungi, bukannya projek mega yang tidak mampan. – Bernama, 17 Ogos, 2022.
Komen