POLIS perlu berlaku adil dalam menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata DAP.
Pengarah Pilihan Raya DAP bagi PRN Melaka Khoo Poay Tiong berkata polis tidak patut hanya mencari kesalahan Pakatan Harapan (PH), tetapi juga Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional(PN).
Khoo berkata demikian susulan seorang calon PH dikompaun RM4,000 kerana memakai jaket berlambangkan parti ketika bertemu orang ramai baru-baru ini.
Salah seorang calon kami dikompaun kerana memakai jaket dengan logo PH. Kami ingin tahu adakah polis, terutamanya ketua polis Melaka, juga menyiasat BN atau PN yang melanggar SOP.
“Saya ada beberapa rakaman video dan gambar BN dan PN melanggar SOP, tetapi kenapa polis tak ambil tindakan terhadap mereka?” soalnya pada sidang media hari ini.
Rakaman video dan gambar tersebut turut dikongsikan kepada petugas media yang hadir.
Khoo berkata polis tidak boleh memilih bulu atau double standard apabila menguatkuasakan SOP.
“Polis kena adil ekpada semua parti yang mengambil bahagian dalam PRN. Jangan hanya siasat PH, siasat juga BN dan PN.
“Semua video boleh didapati dengan mudah di media sosial,” katanya.
Sementara itu, penasihat DAP Lim Kit Siang menyeru rakyat Melaka keluar mengundi pada 20 November ini.
Peratusan keluar mengundi yang rendah katanya akan menghalang usaha pembaharuan khususnya di negeri itu.
“Peratusan keluar mengundi pilihan raya di Jordan dan Algeria ketika pandemik Covid-19 sangat rendah.
“Kita perlu keluar beramai-ramai mengundi bagi memastikan masa depan yang lebih baik dan adil, tidak hanya untuk Melaka tetapi juga negara,” katanya. – 14 November, 2021.
Komen