Skandal kapal perang, inflasi mungkin jejas peluang BN dalam PRU, kata MCA


Khoo Gek San

Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan untuk menyiasat skandal LCS. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Ogos, 2022.

SKANDAL kapal tempur pesisir (LCS) dan peningkatan kos sara hidup boleh menjadi masalah bagi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, kata Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon.

Chong berkata BN sepatutnya mengadakan pilihan raya umum ke-15 sejurus selepas pilihan raya negeri Johor kerana gabungan itu telah mendapat momentum dan ia adalah masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya.

Dengan skandal LCS ini, Wong berkata, parti pembangkang kini mempunyai peluru untuk digunakan menentang BN.

“Ini adalah taktik parti pembangkang, sama seperti mereka menggembar-gemburkan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk memenangi PRU lalu,” kata Chong kepada The Malaysian Insight.

“BN mesti belajar daripada kesilapan lalu dan tidak mengulanginya.”

Minggu lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengeluarkan laporannya mengenai pembelian enam LCS oleh Kementerian Pertahanan daripada BNS melalui rundingan terus.

Walaupun kerajaan telah membayar pengilang sebanyak RM6 bilion, tidak ada satu kapal pun yang dihantar.

Mengikut jadual asal, lima LCS sepatutnya dihantar kepada kementerian bulan ini.

Chong berkata Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan untuk menyiasat skandal LCS.

“Seluruh gabungan tidak seharusnya diheret kerana ini dan BN tidak boleh menjelaskannya begitu sahaja.

“Walaupun kita tidak tahu bila PRU15 akan diadakan, kita tidak mahu LCS menjadi beban kepada kita.

“BN tidak sepatutnya memberi tanggapan bahawa ia cuba menutup skandal LCS, ia mesti mengatasinya.”

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga telah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) mempercepatkan siasatan.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, memandangkan kadar inflasi yang berlaku, adalah tidak bijak untuk mengadakan PRU tahun depan.

Ismail bagaimanapun tetap bertahan walaupun didesak oleh ketua partinya, sambil menegaskan bahawa pilihan raya hanya akan diadakan apabila ia menguntungkan BN.

Chong berkata inflasi dan peningkatan kos sara hidup adalah masalah global, tetapi amat mendukacitakan melihat langkah yang dilaksanakan mengikut kehendak parti politik berikutan komposisi kerajaan Ismail.

Beliau berkata langkah berkesan hanya boleh dilaksanakan apabila satu pihak mentadbir, bukannya mempunyai terlalu ramai yang memimpin.

“Pelabur juga akan meragui kestabilan kerajaan berbilang parti.”

Hanya apabila BN kembali berkuasa tanpa memerlukan pakatan politik lain barulah kestabilan politik dan ekonomi dapat dicapai, tambah Chong. – 17 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen