Keluarga tunggu laporan luar negara jika vaksin Covid-19 punca anak mati


Ravin Palanisamy

Ibu bapa remaja N. Revnesh Kumar, 13, mahu saman kerajaan jika laporan siasatan dari Amerika Syarikat buktikan anak mereka maut akibat vaksin Covid-19 Pfizer. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2022.

SAMPEL tisu N. Revnesh Kumar, 13, telah dihantar ke luar negara untuk siasatan semula selain bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai punca kematiannya, kata ibunya Vijayarani Govindan.

Keluarga itu mendakwa kematiannya disebabkan vaksinasi Covid-19 namun dinafikan Kementerian Kesihatan (KKM).

Vijayarani berkata beliau dimaklumkan oleh KKM melalui surat yang kementerian telah menghantar sampel tisu itu ke Amerika Syarikat pada 23 Jun dan akan mengambil masa kira-kira 60 hari untuk penemuan didedahkan.

“Pertama, saya diberitahu oleh pegawai KKM yang mereka telah hantar sampel tisu arwah anak saya ke Amerika Syarikat pada 23 Jun.

“Saya juga dimaklumkan ia mengambil masa sekitar 60 hari untuk laporan itu siap.

“Saya kemudian dapat surat daripada KKM yang mengesahkan perkara itu. Kami kini sedang menunggu penemuannya,” kata Vijayarani kepada The Malaysian Insight.

Revnesh meninggal dunia pada 16 Januari, 18 hari selepas menerima dos pertama vaksin Pfizer Covid-19.

Ditemani ayahnya L. Naresh Kumar, Revnesh tiba-tiba rebah ketika dalam perjalanan ke kelas karate di dalam lif blok perumahannya sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang, di mana dia disahkan meninggal dunia.

Vijayarani dan suaminya telah menyalahkan vaksin sebagai penyebab kematian anak mereka.

Pada mulanya, punca kematian Revnesh tidak dapat dijelaskan walaupun dibedah siasat.

Bagaimanapun, laporan awal yang dikeluarkan pada 9 Mac oleh KKM dan dijalankan oleh pakar forensik, menunjukkan kematian remaja itu tiada kena mengena dengan vaksin koronavirus.

Laporan awal hanya menyatakan Revnesh meninggal dunia sebagai “kematian mengejut” kerana keputusan ujian menunjukkan organnya semua sihat dan badannya tidak terjejas oleh vaksin.

Sejak itu Vijayarani mempertikaikan penemuan KKM berhubung punca kematian anaknya, percaya vaksin punca tragedi keluarga itu.

Beliau KKM, sejak awal, telah cuba menghapuskan kemungkinan Revnesh meninggal dunia akibat vaksin dan oleh itu mahu siasatan bebas mengenai kematian anaknya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada 17 Mac berkata kematian Revnesh akan dirujuk kepada panel pakar bebas, yang bukan sebahagian daripada KKM, untuk siasatan lanjut.

Vijayarani berkata, beliau terpaksa membuat susulan dengan kementerian itu beberapa kali bagi mendapatkan maklumat terkini kes itu.

“Saya sudah tulis surat kepada menteri pada 20 April, menjelaskan saya tidak berpuas hati dengan penemuan di sini dan saya mahu KKM hantar sampel tisu anak saya ke luar negara untuk siasatan lanjut.

“Selepas Hari Raya, seorang kakitangan KKM menelefon saya untuk memaklumkan mereka sedang menunggu peruntukan daripada kerajaan (untuk menghantar sampel ke luar negara) dan mereka akan memaklumkan kepada saya.

“Bagaimanapun, saya tidak mendapat sebarang maklum balas selepas itu. Jadi, saya tulis surat kedua pada 22 Jun kepada menteri dan pada keesokan harinya (23 Jun), seorang kakitangan KKM menelefon memaklumkan sampel tisu Revnesh telah dihantar ke Amerika Syarikat,” katanya.

Vijayarani, yang mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia 11 tahun, berkata beliau tidak akan berhenti selagi tidak mendapat keadilan untuk anaknya.

“Adakah sesiapa yang menerima, jika diberitahu anak mereka yang sihat itu meninggal dunia secara mengejut? Saya pasti tidak dapat menerimanya.

“Jika ia betul-betul kematian mengejut, mereka (doktor) boleh beritahu saya ketika mereka buat bedah siasat awal. Mengapa mereka perlu tunggu lama sebelum membuat keputusan sedemikian?

“Jadi, saya tidak akan berhenti selagi saya tidak dapat sebab yang munasabah atas kematian anak saya. Sebagai ibu, saya akan buat apa sahaja untuk mendapatkan keadilan untuk mendiang anak saya,” katanya.

Vijayarani berkata, mereka sekeluarga masih belum pulih daripada kehilangan dan menambah anak perempuan mereka turut merasai kesan kesunyian selepas kehilangan abangnya.

Vijayarani berkata, jika penemuan baharu itu membuktikan anak lelakinya itu benar-benar mati akibat vaksin Covid-19, beliau tidak akan teragak-agak untuk menyaman kerajaan.

“Mereka (kerajaan) beri jaminan tidak akan ada sebarang masalah akibat vaksin itu.

“Tetapi bagaimana anak saya yang sihat, yang tidak mempunyai sebarang penyakit atau kemasukan ke hospital sebelum ini, meninggal dunia sebagai kematian mengejut?

“Dia ada impian besar, malah kami, sebagai ibu bapa. Pemergiannya adalah satu kehilangan besar buat kami,” katanya.

Ibu bapa lain kini berwaspada

Vijayarani mendakwa bahawa beberapa orang telah mendekatinya, mengatakan bahawa videonya yang diterbitkan oleh The Malaysian Insight bercakap tentang kematian anaknya telah membuat mereka mempertimbangkan semula keputusan mereka untuk memberi anak mereka vaksin.

Vijayarani mendakwa beliau didatangi beberapa individu, berkata video mengenai kematian anaknya yang diterbitkan oleh The Malaysian Insight telah membuatkan merekapertimbang semula keputusan untuk memberi anak mereka vaksin Covid-19.

Ada yang berasa ragu-ragu selepas mendapat tahu apa yang berlaku ke atas Revnesh, kata wanita itu.

“Ramai yang datang berjumpa saya, minta saya bersabar dan berkata kematian anak saya selepas ambil vaksin buatkan mereka tidak yakin.

“Saya tak mahu ibu bapa lain alami situasi yang sama, menderita seperti kami,” katanya.

Vijayarani berkata beliau mendapat tahu ada ibu bapa yang membatlkan temujanji vaksinasi anak mereka selepas menonton video yang melaporkan tentang kematian Revnesh.

Bulan lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata Seramai 1,518,773 kanak-kanak bawah 12 tahun di negara ini sehingga kini masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

Daripada jumlah itu, seramai 264,750 kanak-kanak belum layak diberi vaksin kerana belum mencapai umur lima tahun, katanya di Dewan Rakyat.

Mengenai kesan sampingan disebabkan oleh vaksinasi Covid-19, Noor Azmi berkata setakat ini Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) menerima 500 laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI).

Daripada jumlah itu katanya, hanya 31 kes yang serius tetapi beransur baik selepas menerima rawatan di hospital.

Kementerian Kesihatan sebelum ini menegaskan sehingga hari ini tidak ada satu kes kematian menunjukkan kaitan langsung dengan vaksinasi. – 11 Ogos, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen