KEMATIAN N. Revnesh Kumar, 13, bukan disebabkan oleh vaksin Covid-19, kata doktor dalam laporan semakan yang dibentang oleh Kementerian Kesihatan kepada ibu bapa mendiang, lapor Free Malaysia Today.
Ibu remaja itu, Vijayarani Govindan, mengesahkan beliau menerima laporan itu hari ini, menunjukkan vaksin bukan puncanya.
“Laporan menyatakan Revnesh mati mengejut kerana hasil ujian menunjukkan semua organnya sihat dan tubuhnya tidak terjejas akibat vaksin,” katanya seperti dipetik portal Free Malaysia Today.
Awal hari ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata laporan itu akan dibentangkan kepada ibu bapanya petang ini.
Khairy berkata panel pakar forensik dari beberapa hospital awam menyemak kematian Revnesh menggunakan keputusan bedah siasat dan ujian lain, termasuk pemeriksaan histologi.
Pakar patologi forensik Hospital Serdang Dr Emizam Mohamadon telah menyampaikan laporan itu kepada ibu bapa mendiang hari ini.
Revnesh meninggal dunia pada 16 Januari, 18 hari selepas suntikan pertama vaksin Covid-19.
Ibu bapanya menyalahkan vaksin sebagai punca kematian anak mereka.
Menurut FMT, Vijayarani dimaklumkan oleh doktor laporan bedah siasat akan mengambil masa seminggu lagi untuk disiapkan.
Beliau juga diberitahu laporan perubatan penuh akan mengambil masa.
Vijayarani berkata, pihak keluarga akan menunggu laporan penuh bedah siasat sebelum memutuskan tindakan seterusnya.
Revnesh menerima suntikan pertama vaksin Pfizer Covid-19 di Klinik Kesihatan di Presint 18, Putrajaya, pada 30 Disember tahun lalu dan dijadualkan menerima dos kedua pada 20 Januari.
Mendiang dilaporkan rebah di dalam lif blok perumahannya pada 16 Januari ketika dalam perjalanan ke kelas karate dan dikejarkan ke Hospital Kajang di mana dia disahkan meninggal dunia.
Punca kematiannya tidak dapat dijelaskan walaupun bedah siasat. – 9 Mac, 2022.
Komen