KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan menyerahkan laporan peer review berkenaan kematian N. Revnesh Kumar, 13, kepada ibu bapanya petang ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Revnesh meninggal dunia pada 16 Januari, iaitu 18 hari selepas mengambil dos pertama vaksin Covid-19.
Ibu bapanya mendakwa vaksin diambil menyebabkan kematian remaja itu.
“Pada 2.30 petang ini, laporan peer review itu akan diserahkan kepada ibu bapa remaja itu,” kata Khairy pada sidang akhbar hari ini.
Panel peer review termasuk pakar forensik dari beberapa hospital awam di negara ini.
“Panel itu menyemak semula kes Revnesh dari 9 pagi hingga 5 petang semalam.
“Mereka yang terbabit ialah ketua jabatan forensik Dr Zahari Noor, pakar forensik dari Hospital Sultanah Bahiyah Dr Mohd Suhaini Mohd Noor, Dr Mohd Shafie Othman dari Hospital Raja Permaisuri Bainun selain pakar dari Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Serdang, katanya.
Sesi peer review was diadakan menggunakan keputusan bedah siasat dan ujian lain, termasuk pemeriksaan histologi.
Revnesh menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer di Klinik Kesihatan di Presint 18, Putrajaya pada 30 Disember tahun lalu dan dijadualkan menerima dos kedua pada 20 Januari.
Mangsa dilaporkan rebah di dalam lif di blok rumahnya pada 16 Januari ketika hendak ke kelas karate dan dikejarkan ke Hospital Kajang di mana beliau disahkan meninggal dunia. – 9 Mac, 2022.
Komen