POLIS Albuquerque, New Mexico di Amerika Syarikat (AS) semalam menahan suspek utama kes pembunuhan empat lelaki Islam yang berlaku di bandar itu sejak November lepas.
Tiga daripada pembunuhan berlaku beberapa minggu lalu, mencetus kegemparan dalam kalangan masyarakat Islam di bandar Albuquerque.
Penyiasat berkata seorang lelaki Afghanistan berusia 51 tahun, Muhammad Syed, ditahan hasil maklumat daripada orang awam.
Polis pada Isnin lepas menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat tentang pembunuhan tersebut tampil bagi membantu siasatan kes bunuh empat lelaki Selatan Asia.
Polis turut mengedarkan gambar kenderaan dipercayai digunakan dalam pembunuhan.
“Kami telah mengesan kenderaan yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan seorang lelaki Islam di Albuquerque baru-baru ini.
“Pemandunya sudah ditahan dan dia adalah suspek utama kes pembunuhan tersebut,” kata Ketua Polis Albuquerque Harold Medina di Twitter.
The New York Times memetik Presiden Pusat Islam New Mexico Ahmad Assed berkata, suspek yang berfahaman Sunni itu melakukan jenayah tersebut kerana berang anak perempuannya berkahwin dengan lelaki berfahaman Syiah.
Polis pada sidang media semalam bagaimanapun berkata motif pembunuhan masih disiasat.
Ketegangan di Albuquerque meningkat selepas mayat keempat yang maut ditembak ditemui pada Jumaat lepas, berhampiran bangunan pusat khidmatbantuan kepada pelarian di bandar itu.
Kejadian berlaku ketika polis sedang menyiasat kematian dua lelaki yang ditembak mati 10 hari sebelum itu, yang didakwa dilakukan suspek.
Sepucuk pistol dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu ditemui di rumahnya semasa digeledah polis.
Seorang lelaki Afghanistan terlebih dahulu ditemui mati pada November lepas, juga dipercayai ada kaitan dengan kes pembunuhan baru-baru ini.
Kes ini turut mendapat perhatian Presiden AS Joe Biden, yang mengutuk pembunuhan empat lelaki Islam di New Mexico yang disyaki saling berkaitan. – AFP, 10 Ogos, 2022.
Komen