Perkasa minta kementerian dalam negeri gantung The Star setahun


Muzliza Mustafa

Muka depan The Star yang mencetuskan kontroversi. – Gambar The Malaysian Insight, 29 Mei, 2017.

KUMPULAN haluan kanan Melayu, Perkasa mahukan akhbar nasional berbahasa Inggeris The Star digantung kerana muka depan yang tidak sensitif kepada orang Islam di negara ini.

Ketua Wanita Perkasa Foziah Nawawi berkata kumpulan itu mahukan kementerian dalam negeri untuk mempertimbangkan penggantungan akhbar harian berbahasa Inggeris itu selama setahun kerana tidak sensitif kepada orang Islam.

“Sekurangnya kalau tidak setahun, sepanjang bulan Ramadan. Mohon maaf sahaja tidak cukup kerana ini bukan kali pertama The Star menyinggung orang Islam,” katanya.

Foziah bercakap kepada media di pejabat kementerian dalam negeri di Putrajay tengahari tadi.

Empat editor kanan The Star dipanggil ke kementerian dalam negeri pagi ini untuk memberikan kenyataan berkenaan muka depan akhbar itu Sabtu lepas yang dikritik sesetengah pihak sebagai tidak sensitif kepada orang Islam.

Empat wakil itu- editor eksekutif Rozaid Abdul Rahman, Brian Martin dan N. Dorairaj, serta editor khas M.Shanmugam- dilihat memasuki bangunan kementerian di Putrajaya sebelum tengahari, menurut akhbar harian berbahasa Melayu, Utusan Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Alwi Ibrahim berkata yang akhbar itu cuai dalam menerbitkan gambar orang Islam menunaikan solat tarawih dengan tajuk berita utamanya “Malaysian Terrorist Leader”.

Ketua Editor Leanne Goh sedang berada di Amerika Syarikat.

Politikus daripada pelbagai parti mengkritik muka depan akhbar milik MCA itu menyifatkannya sebagai memberikan gambaran yang semua orang Islam adalah pengganas.

The Star sudah mengeluarkan kenyataan maaf berkenaan muka depannya, mengatakan yang mereka sepatutnya lebih sensitif kepada pembaca Islam mereka.

“Ia menjadi amalan The Star untuk menghormati hari pertama Ramadan setiap tahun dan meletakkan gambar orang Islam bersolat tarawih pada muka depan akhbar.

“Ini dilakukan sejak sedekad yang lalu atau lebih.

“Tahun ini, terdapat kebetulan dengan berita utama mengenai pemimpin pengganas, kemudian ramai yang mengaitkannya dengan tajuk dan gambar, yang mana bukan menjadi niat akhbar ini.

“Kami memohon maaf di atas kesilapan penilaian di pihak kami,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Wakil wanita Perkasa di kementerian dalam negeri hari ini mendesak tindakan tegas dikenakan kepada The Star. – Gambar The Malaysian Insight, 29 Mei, 2017.

Foziah berkata yang akhbar itu sebelum ini juga mengeluarkan permohonan maaf dan dilepaskan selepas menerbitkan gambar artis Erykah Badu dengan perkataan arab Allah tertulis di badannya pada 2012.

“Dan mereka nampaknya tidak serik. Untuk akhbar yang dimiliki parti komponen BN mereka seharusnya lebih tahu,” katanya.

Dia turut menambah yang muka depan akhbar itu Sabtu lepas tidak sensitif seolah-olah pihak editorial mahu mengaitkan orang Islam dengan keganasan.

“Ada juga iklan gambar wanita separuh bogel menawarkan khidmat urut di bahagian bawah muka surat itu, di bawah gambar orang Islam mengerjakan tarawih,” kata Foziah.

Dia mendakwa yang walaupun akhbar lain seperti Utusan Malaysia dan New Straits Times menerbitkan rupa bentuk yang sama, muka depan mereka mempunyai lebih daripada satu tajuk berita.

“Mereka mempunyai tiga hingga empat berita di muka depan dan inilah kali pertama mereka menerbitkan tajuk sebegitu dengan gambar begitu di muka surat sama,” katanya.

Foziah menambah yang tindakan tegas seharusnya diambil kementerian dalam negeri terhadap The Star sebagai pengajaran kepada yang lain.

“Tindakan mereka tidak boleh dimaafkan dan kami tidak boleh terima. Orang Islam sangat marah,” katanya.

Katanya juga bukan masalah untuk akhbar itu menjaga kebajikan kakitangannya sepanjang tempoh penggantungan kerana mereka juga mempunyai perniagaan lain.

“Mereka perlu bertanggungjawab kepada tindakan dan pekerja mereka,” katanya.

The Malaysian Insight cuba mendapatkan komen dari Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Alwi Ibrahim tetapi gagal.

Panggilan dan mesej pesanan ringkas ke telefon bimbitnya tidak dijawab. –  29 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen