SEBENARNYA, jika orang jahat tidak ada pembela dan penyokongnya, tragedi yang menimpa cucunda Nabi Muhammad SAW, iaitu Saidina Hussein tidak akan terjadi.
Sebenarnya, jika orang jahat tidak ada peguam dan pengikutnya, pembunuhan dan pembantaian terhadap keluarga Nabi Muhammad tidak akan pernah berlaku.
Jika semua para mufassirin (ahli tafsir) tidak membelok-belok maksud dan makna ayat suci al-Quran, Asy-Syuura (42:23) maka tidak ada segala ahlul korup bermaharajalela.
Akan tetapi pemimpin korup akan selalu ada peguam, akan sering ada pengundinya, mesti akan ada agamawan mencari dalil mendaulatkannya.
Ahlul korup tidak boleh berkuasa kalau kita mencegahnya. Ahlul korup ini termasuklah penguasa Bani Umaiyyah, yang korupsi mereka itu sudah menjadi satu pusaka warisan untuk semua pemimpin jahanam; termasuk pemimpin masa kini.
Apabila Muslim bin Aqil ke Kufah membawakan mesej daripada Saidina Hussein pada tahun 61 Hijrah, dia berasa yakin agama Islam akan terselamat dari pemimpin jahat. Mana tidaknya, terdapat lebih 18 ribu baiah atau jika diterjemahkan dalam bentuk undi popular hari ini, cukup untuk mengatasi sokongan terhadap pemerintahan Bani Umaiyyah yang nista itu.
Akan tetapi Ibnu Ziyad gesit diangkat oleh Yazid sebagai wali kota Kufah. Pertukaran pimpinan itu berlaku demi mengekang dan mencegah pemberontakan rakyat (atau kebangkitan popular) dari terjadi.
Demikian celakanya kuasa seorang koruptor, serta merta undi 18 ribu itu bertukar menjadi sesuatu yang sebaliknya. Pengkhianatan berlaku sekelip mata.
Dalam dokumen sejarah merekodkan, Ibnu Ziyad menghamburkan wang. Cash is King. Untuk yang tidak makan habuan, mereka diteror
dan ditakut-takutkan.
Apabila Muslim bin Aqil merayu mencari perlindungan di kota yang tidak dikenalnya; mengetuk setiap muka pintu rumah di Kufah; undi popular itu tidak lagi masyhur. Pandangan bahawa Saidina Hussein wajar menjadi pemimpin yang sah tidak lagi dipegang. Orang ramai, kita katakan rakyat atau pengundi Kufah, dengan senang sekali membelot lantas Muslim bin Aqil, utusan Saidina Hussein itu ditinggalkan sendirian.
Di hadapan Ibnu Ziyad, Muslim meminta kepada Umar bin Saad agar tolong memberitahukan Saidina Hussein, bahawa baginda tidak lagi perlu ke Kufah; kerana undi 18 ribu itu sudah berpaling.
Memang luar biasa 18 ribu orang berpaling sekelip mata. Cash is king.
Apabila Muslim akhirnya ditangkap dan dibawa ke tempat hukuman bunuh (memang kita tidak dapat membayangkan ‘pemerintah Islam’ membunuh suara yang menentang dari kalangan keluarga nabi), Muslim sedang memanjat tangga untuk menuju ke tempat penghabisan. Dia pun menangis.
Sang tukang hukum menjadi kaget dan bertanya, “Eh eh, kenapa kau menangis? Tidakkah kau menjangkakan yang kau akan dibunuh kalau-kalau kau berani melanggar dan melawan regim sekarang ini?”
Muslim membalas, “Aku menangis bukan untuk diriku. Bahawa diri aku ini tidak ada nilainya. Aku menangis kerana aku datang ke sini dengan misi mendapatkan sokongan buat Imam Hussein, sedang sekarang cucu nabi yang mulia sedang menuju ke sini membawa sama rombongan kaum wanita Bani Hashim dan juga anak-anak kecil.
“Aku menangis kerana mengenangkan cucu cicit Fatimah Zahra akan kalian bunuh. Dan aku tidak dapat menghalangnya daripada terjadi.”
Muslim pun dibunuh. Demikian mudah. 18 ribu orang yang asalnya mengaku dan berjanji untuk menyokong Saidina Hussein itu dengan cepat sekali memilih untuk bersama-sama Ibnu Ziyad, gabenor baru Kufah.
Pembunuhan Muslim dianggap biasa. Korupsi dianggap biasa. Peremehan terhadap agama dianggap biasa.
Karbala tidak akan terjadi kalau tidak ada pemimpin korup. Akan tetapi yang lebih penting lagi mustahak, pemimpin korup seibarat Yazid tidak akan ada kuasanya jikalau 18 ribu undi untuk Saidina Hussein itu kekal sebagai undi.
Karbala tidak akan terjadi kalau Yazid, pemimpin korup tidak ada pembela dan peguamnya. Padahal logik menjelaskan kepada kita, bahawa orang jahat tidak harus dibela.
Kejahanaman umat dan negara hari ini berlaku kerana pemimpin korup mendapat pembela dan peguamnya.
Maka pemimpin khianat misalnya diwar-war sebagai reformis tidak didendang. Maka pemimpin jahat diciumi kura tangannya. Pemimpin jahat pun mendapat peguam bela yang dibayar untuk mencari-cari alasan untuk menghalalkan korupsinya.
Memang Ibnu Ziyad jahat dan korup. Demikian juga raja pada waktu itu, Yazid. Juga jahat dan korup.
Tetapi peristiwa pada 10 Muharram 61 Hijrah bersamaan 10 Oktober tahun 680 itu tidak akan berlaku kalau orang jahat dan korup ini tidak sampai dipertahankan, jika semua undi popular itu bergotong royong menafikan korupsi.
Pun, cepat sekali umat melupakan Rasulullah SAW, dan cepat sekali umat mengabaikan ayat suci al-Quran, Asy-Syuura (42:23) yang mana dalam ayat itu Rasulullah berpesan bahawa kenabian beliau tidak perlukan sebarang upah, yuran, bayaran, ganjaran atau royalti.
Akan tetapi memadai dengan patuh, hormat dan mencintai kerabatnya (mawadda fil Qurba) yang kemudian segera dipesongkan oleh agamawan tertentu pada zaman itu maksundya, ya agar dapat memenuhi agenda kuasa sedia ada.
Makanya, undi 18 ribu yang kononnya tidak akan berpaling itu pun beralih angin. Penguasa jahat menjadi jahat kerana ada undi seperti kita yang mengangkat mereka. Firaun mengaku Tuhan kerana ada orang Mesir yang menyembah dan sanggup menciumi kura tangannya.
Diktator di dunia ini, baik pada zaman lampau dan moden beroleh kekuatan dan kuasanya kerana mereka ada peguam bela dan agamawan yang mencari alasan dan dalil untuk menjulang dan mengampunya.
Ajaran agama kita rosak dan kemudian umat menjadi binasa kerana adanya perangai dan kenaifan seperti ini. Mungkin bukan naif.
Itulah sebabnya apabila orang jahat dihumban ke neraka kelak, mereka yang sayangkannya akan ikut serta. Itulah sebabnya neraka menjadi tempat yang macet sekali, dan api di situ merumba-rumba.
Itulah juga puncanya dosa khianat dan berpaling tidak akan diampuni Tuhan meski dengan taubat paling luhur di muka pintu Kaabah. Khianat adalah kesyirikan. Ia adalah punca kehancuran bangsa, umat, dan segala peradaban.
Korupsi tidak akan terjadi kalau pemimpin korup tidak diciumi kura tangannya. Korupsi terjadi kerana kita mensekutukan Allah dengan meninggalkan ayat suci yang memerintahkan kita mematuhi utusannya, yakni Rasulullah yang telah meminta kita tidak berpaling daripada penggantinya.
Kita punya pemimpin korup kerana kita yang berkehendak kepadanya! – 3 Ogos, 2022.
* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen