Guru wanita di Pakistan dibunuh kerana mimpi hina Nabi Muhammad


SEORANG guru sekolah agama perempuan dibunuh oleh rakan sekerja dan dua pelajar yang menuduhnya menghina Islam, kata polis Pakistan pada Rabu, pembunuhan terbaharu berkaitan dengan isu yang sensitif itu.

Insiden terbaru berlaku pada Selasa di Dera Ismail Khan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa barat laut ultra konservatif yang bersempadan dengan Afghanistan.

Polis berkata dua pelajar dan seorang guru menyerang hendap Safoora Bibi di pintu pagar utama sekolah dan menyerangnya dengan pisau dan kayu.

“Beliau meninggal dunia selepas lehernya dikelar,” kata pegawai polis Saghir Ahmed kepada AFP.

Suspek utama ialah rakan sekerja yang merancang jenayah itu bersama dua anak saudara yang belajar di sekolah Jamia Islamia Falahul Binaat, kata polis.

Mereka memberitahu polis seorang saudara bermimpi mangsa “melakukan penghinaan” terhadap Nabi Muhammad, kata pegawai, sambil menambah mereka juga sedang menyiasat jika suspek utama, Umra Aman, mempunyai dendam peribadi.

Azeem Khan, seorang lagi pegawai polis, mengesahkan butiran itu. 

Kumpulan hak asasi manusia berkata undang-undang penghinaan agama di Pakistan sering digunakan untuk menyelesaikan dendam peribadi.

Tahun lalu, seorang pengurus kilang Sri Lanka yang bekerja di Pakistan dipukul hingga mati dan dibakar oleh kumpulan perusuh selepas dituduh menghina Islam.

Pusat Keadilan Sosial—sebuah kumpulan bebas yang memperjuangkan hak minoriti—berkata sekurang-kurangnya 84 orang dituduh melakukan penghinaan tahun lepas, dan tiga dibunuh oleh kumpulan perusuh atas dakwaan yang sama. – AFP, 2 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen