PRESIDEN baharu Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe secara rasmi menjemput ahli Parlimen untuk menyertai kerajaan perpaduan daripada semua parti untuk memulihkan ekonomi dengan melakukan pembaharuan, kata pejabatnya pada Ahad.
Wickremesinghe mengambil alih jawatan awal bulan ini selepas kemarahan orang ramai terhadap krisis ekonomi terburuk negara pulau itu memaksa presiden terdahulu Gotabaya Rajapaksa melarikan diri dan meletak jawatan.
Dalam pertemuan pada Sabtu dengan sami berpengaruh Kuil Gigi di Kandy, salah satu kuil paling suci agama Buddha, Wickremesinghe menggariskan rancangannya.
“Sebagai presiden, saya ingin memulakan perjalanan baru,” Wickremesinghe dipetik sebagai memberitahu sami dalam pertemuan pertamanya dengan paderi Buddha sejak memegang jawatan.
“Saya ingin mengumpulkan semua pihak dan meneruskan perjalanan ini serta membentuk kerajaan semua parti.”
Beliau menulis surat kepada semua ahli Parlimen meminta mereka menyertai kerajaan perpaduan.
Seorang bekas ahli Parlimen pembangkang, Wickremesinghe, 73, memegang jawatan perdana menteri buat kali keenam pada Mei selepas abang Rajapaksa, Mahinda meletak jawatan dan tidak ada orang lain yang mengambil alih jawatan itu.
Wickremesinghe menjadi presiden selepas Gotabaya melarikan diri pada 9 Julai apabila puluhan ribu penunjuk perasaan yang marah terhadap krisis ekonomi menyerbu istana presiden.
Beliau melarikan diri ke Singapura dan meletak jawatan lima hari kemudian membolehkan Wickremesinghe menjadi presiden sementara sebelum memenangi undi di Parlimen mengesahkan jawatannya.
Sri Lanka dengan 22 juta penduduk bergelap selama berbulan-bulan kerana ketiadaan bekalan elektrik, inflasi dan kekurangan makanan, bahan api serta ubat-ubatan. – AFP, 31 Julai, 2022.
Komen