PARLIMEN Sri Lanka bermesyuarat hari ini dan akan memilih presiden baharu bagi menggantikan Gotabaya Rajapaksa meletak jawatan selepas lari ke luar negara minggu lalu berikutan bantahan besar-besaran rakyat.
Pemenang daripada tiga pemimpin yang dicalonkan akan mengambil alih tugas Rajapaksa menerajui Sri Lanka yang muflis, di mana 22 juta rakyat negara itu mengalami krisis makanan, nahan api dan ubat-ubatan yang kritikal.
Mereka yang dicalonkan adalah Ranil Wickremesinghe yang juga pemangku presiden Sri Lanka, ahli Parlimen daripada parti Sri Lanka Podujana Peramuna (SLPP) Dullas Alahapperuma dan pemimpin National People’s Power (NPP) Anura Kumara Dissanayake.
Penganalisis politik berkata walaupun Ranil Wickremesinghe yang juga pemangku presiden calon yang disebut-sebut akan menang, namun bekas perdana menteri enam kali itu tidak disukai rakyat kerana dilihat sebagai sekutu Rajapaksa.
Rajapaksa umum peletakan jawatannya dari Singapura minggu lalu, beberapa hari selepas beliau melarikan diri ke Maldives menggunakan pesawat tentera ketika protes secara besar-besaran di Sri Lanka.
Wickremesinghe, 73, mendapat sokongan besar ahli parlimen dari parti pemerintah SLPP yang merupakan blok terbesar dalam parlimen.
Parlimen Sri Lanka mempunyai 225 ahli.
Sebagai pemangku presiden, Wickremesinghe telah melanjutkan perintah darurat yang memberi kuasa kepada tentera dan polis menahan penunjuk perasaan tanpa waran.
Ribuan penunjuk perasaan menyerang pegawai kerajaan, membakar rumah, kedai dan perniagaan milik ahli politik pemerintah dan wilayah ekoran krisis ekonomi terburuk dalam sejarah Sri Lanka. – AFP, 20 Julai, 2022.
Komen