Perniagaan alami kerugian akibat bekalan elektrik terputus


Khoo Gek San Angie Tan

Bagi setiap gangguan bekalan elektrik, perniagaan kerugian bahan mentah dan keuntungan yang boleh digunakan untuk membayar gaji pekerja, kata Presiden Persatuan PKS Ding Hong Sing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2022.

BEKALAN elektrik terputus selama tiga jam di Lembah Klang hari ini mengakibatkan perniagaan lumpuh dan membawa kepada kerugian, kata pakar industri.

Mereka berkata memandangkan gangguan berlaku dalam tempoh panjang, pembekal tenaga Tenaga Nasional Berhad harus mempertimbangkan untuk memberi diskaun automatik kepada perniagaan dan industri.

Presiden Persatuan PKS Ding Hong Sing berkata pengendali makanan paling menderita kerana mereka berada di tengah-tengah pengeluaran apabila bekalan elektrik terputus.

Ding berkata bagi setiap gangguan bekalan elektrik, perniagaan kerugian bahan mentah dan keuntungan yang boleh digunakan untuk membayar gaji pekerja.

Kerugian ini semuanya ditanggung pemilik perniagaan, katanya.

“Walaupun TNB memberi kami diskaun, ia tidak akan menebus kerugian kami, ia hanya mengurangkan sedikit kos,” kata Ding kepada The Malaysian Insight.

“TNB sepatutnya memberi kami diskaun secara automatik. PKS berdepan kerugian teruk sejak pandemik.”

Presiden Persatuan Pusat Beli-belah Malaysia, Teo Chiang Kok berkata mereka juga mengalami kerugian setiap kali bekalan elektrik terputus.

Pengendali makanan paling menderita kerana mereka berada di tengah-tengah pengeluaran apabila bekalan elektrik terputus, kata Presiden Persatuan PKS Ding Hong Sing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2022.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti berapa banyak kerugian yang dialami pusat beli-belah.

“Ia bergantung kepada tempoh gangguan, sama ada ia berlaku pada waktu puncak dan faktor lain,” kata Teo.

Katanya, TNB bagaimanapun tidak pernah memberikan diskaun apabila berlaku gangguan bekalan elektrik.

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia, Soh Thian Lai berkata buat masa ini belum dapat dipastikan berapa banyak kerugian yang dialami pengeluar dalam tempoh tiga jam itu.

“Saya tidak menerima sebarang aduan daripada ahli kami,” kata Soh.

Kilang elektronik yang beroperasi 24 jam bagaimanapun akan terjejas, katanya.

Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia Wong Siew Hai berkata mereka juga tidak menerima sebarang aduan.

Kafe dan restoran terjejas

Sementara itu, bagi pengendali kafe DAY 9 Kitchen di Seri Kembangan, gangguan itu menyebabkan mereka tidak dapat menyediakan minuman dan makanan.

“Sesetengah pelanggan datang untuk minum kopi, tetapi mereka beredar selepas melihat keadaan itu,” kata pemilik kafe, Chan.

“Ada yang menghubungi lebih awal untuk bertanyakan keadaan. Tetapi dalam situasi sedemikian, kami kehilangan pelanggan.”

Chan juga bimbang makanan yang disimpan di dalam peti sejuk akan rosak, malah bercadang untuk ditutup lebih awal pada jam 3 petang.

“Tetapi mujur bekalan elektrik berjaya dipulihkan, jadi kami terus beroperasi. Jika gangguan itu melebihi dua hari, kami akan mengalami kerugian besar.” – 27 Julai, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen