Pakistan akan import elektrik Iran 'secepat mungkin'


Pakistan telah menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat Iran untuk mengimport 100 megawatt elektrik untuk wilayah Balochistan, dan ianya akan dilaksanakan secepat mungkin, menurut menteri tenaga negara itu. – Gambar EPA, 22 Jun, 2022.

PAKISTAN, yang menghadapi peningkatan masalah bekalan tenaga elektrik yang sering terputus, telah menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat Iran untuk mengimport 100 megawatt tenaga elektrik untuk wilayah Balochistan.

Perjanjian itu ditandatangani pada Selasa antara Syarikat Penjanaan Kuasa, Pengedaran dan Penghantaran Iran, yang dikenali sebagai Tavanir, dan Syarikat Transmisi dan Penghantaran Kebangsaan Pakistan (NTDC), ciap Kementerian Tenaga Pakistan di Twitter.

Ia akan dilaksanakan “secepat mungkin untuk memberikan bantuan segera kepada penduduk Balochistan,” menurut kementerian itu.

Perjanjian itu ditandatangani semasa lawatan Menteri Tenaga Pakistan Khurram Dastgir Khan ke Iran.

Khurram Dastgir sebelum itu mengadakan perbincangan dengan Menteri Tenaga Iran Ali Akbar Mehrabian untuk meneroka bidang kerjasama tenaga.

“Kedua-dua rancangan tenaga jangka panjang dan jangka pendek telah dibincangkan,” menurut Kementerian Tenaga Pakistan.

Menteri Pakistan itu turut melawat pejabat tenaga dan infrastruktur Iran, Kumpulan Mapna dan bertemu pengerusinya Abbas Ali Abadi. – Bernama, 22 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen