Wabak cacar monyet boleh dibendung, kata Rumah Putih


Kes pertama cacar monyet muncul di Amerika Syarikat lebih dua bulan lalu namun pentadbiran Presiden Biden didakwa gagal bertindak pantas. – Gambar fail EPA, 24 Julai, 2022.

RUMAH Putih pada Ahad menyatakan keyakinan pihak berkuasa boleh “menghapuskan” cacar monyet dari Amerika Syarikat dengan mempercepatkan pemberian vaksinasi dan rawatan untuk memerangi penyebaran virus itu.

“Saya fikir cacar monyet boleh dibendung, secara mutlak,” doktor Ashish Jha, penyelaras tindak balas koronavirus Rumah Putih, memberitahu rancangan bual bicara CBS News “Face the Nation.”

“Kami sudah bertindak dengan pantas,” kata Jha, menolak tuduhan pentadbiran Presiden Joe Biden gagal bertindak apabila kes pertama muncul di AS lebih dua bulan lalu.

Beliau berkata, Washington melakukan tindak balas yang baik, termasuk pemerolehan baru-baru ini kira-kira 800,000 dos vaksin dari Denmark, sejak permulaan wabak AS pada Mei, apabila stok vaksin cacar monyet amat terhad.

“Perancangan kami adalah untuk menghapuskan virus ini dari Amerika Syarikat. Saya fikir kami boleh melakukannya,” kata Jha.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada Sabtu mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai darurat kesihatan global, yang menjejaskan hampir 17,000 orang di 74 negara.

Penggubal undang-undang dan datuk bandar AS merungut mengenai kelewatan tindak balas pentadbiran Biden, termasuk ahli Demokrat Adam Schiff yang menulis kepada setiausaha kesihatan negara itu minggu ini untuk memberi amaran “kerajaan persekutuan gagal memberi tindak balas yang sepatutnya.”

Pusat wabak AS adalah bandaraya New York, yang mana kebanyakan kes direkodkan adalah lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.

Jha mengakui virus itu merebak sebahagian besarnya dalam komuniti lelaki gay, tetapi menegaskan “terdapat orang lain yang turut berisiko,” terutamanya mereka yang menjadi kontak rapat dengan orang yang dijangkiti. – AFP, 24 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen