Suara Parlimen penting pertahan kedaulatan Malaysia


Fakhrurrazi Rashid

KEPUTUSAN Speaker Dewan Rakyat menolak perbahasan usul tergempar berkenaan tuntutan waris Kesultanan Sulu ke atas aset negara telah mendapat perhatian rakyat. Selain hujah subjudis, Tan Sri Azhar Azizan Harun menyatakan usul ini amat berisiko kerana akan mendedahkan strategi kerajaan mengatasi masalah ini.

Ironinya, pihak kerajaan boleh pula mengadakan perbincangan tertutup mengenai isu ini di salah sebuah hotel mewah. Bukankah membincangkan strategi kerajaan di tempat awam lebih berisiko?

Apakah martabat Parlimen jika semua isu tentang negara dan politik dibincangkan di hotel?

Setiap maklumat yang diberikan dalam taklimat tersebut diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), yakni ahli Parlimen tidak dibenarkan berkongsi sebarang maklumat kepada orang awam.

Meskipun terdapat isu-isu keselamatan yang perlu dilindungi, tetapi meletakkan semua maklumat tersebut di bawah OSA telah menimbulkan lebih banyak persoalan dan menunjukkan kerajaan tidak mempunyai keupayaan bertanggungjawab kepada Parlimen yang diiktiraf Perlembagaan Persekutuan.

Sepatutnya, Speaker Dewan Rakyat dan kerajaan perlu sedar akan kepentingan Parlimen dalam menyemak dan meneliti setiap keputusan, dasar luar negara, dan membahaskan isu antarabangsa yang berkaitan kepentingan Malaysia. Dari sudut teori, peranan ini dipanggil sebagai Diplomasi Parlimen (Parliamentary Diplomacy).

Parlimen dan dasar hubungan antarabangsa

Perubahan dinamik geopolitik dan akses maklumat yang semakin luas telah menarik minat pelbagai pihak membincangkan dasar luar negara secara terbuka. Situasi ini telah mengubah proses konvensional membuat dasar luar negara yang selalunya diputuskan kumpulan kecil seperti Menteri Kabinet, pegawai kerajaan, dan pembuat dasar.

Kini, isu antarabangsa di Malaysia juga turut dibincangkan oleh kumpulan aktivis, badan bukan kerajaan, organisasi tempatan, mahasiswa universiti dan rakyat sejak dua dekad yang lalu. Proses ini telah berubah daripada pendekatan ‘Top-Down’ kepada ‘Bottom-Up’, yang melibatkan penyertaan aktif orang awam dalam membincangkan isu antarabangsa dan kedaulatan negara di peringkat global.

Perbahasan mengenai isu-isu luar negara bukanlah sesuatu yang asing buat Parlimen Malaysia. Pada tahun 2009, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengadakan sidang Parlimen khas bagi membincangkan 10 ketetapan yang dicadangkan oleh kerajaan Malaysia bagi menghentikan kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

Dalam konteks isu kedaulatan Malaysia dan Sabah, pada 7 September 2020, Dewan Negara telah membahaskan usul tergempar berkenaan tuntutan Filipina ke atas Sabah. Ia susulan Parlimen Filipina telah meluluskan satu rang undang-undang 6399 yang menyatakan perlu memasukkan peta Sabah sebagai sebahagian daripada pasport Filipina.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato’ Kamaruddin Jaafar telah menjawab setiap pertanyaan dibangkitkan oleh Senator. Perdebatan ini memberi kesan positif dalam tiga aspek: pertama, Senator mendapat gambaran  jelas tentang pendirian kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan Malaysia.

Kedua, kerajaan berpeluang meyakinkan ahli Parlimen dan rakyat akan keputusan mereka secara terbuka.

Ketiga, ia telah membawa satu penyatuan antara Senator dan badan eksekutif dalam mempertahankan kepentingan Malaysia dan Sabah.

Mengambil iktibar perbahasan di Dewan Negara, Speaker Dewan Rakyat dan kerajaan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya sedar bahawa usul tergempar daripada ahli Parlimen Kota Belud boleh memberi ruang kepada kerajaan meredakan kebimbangan awam setelah isu ini dipolitikkan untuk mencari salah pihak tertentu.

Perspektif yang melihat Parlimen Malaysia sebagai institusi membahaskan dasar luar negara dan antarabangsa tidak boleh dipinggirkan sama sekali. Pembabitan ahli Parlimen dalam disiplin ini mampu memperkukuh kerjasama dwipartisan antara Parlimen dan badan eksekutif dalam mempertahankan kedaulatan negara di peringkat antarabangsa.

Beri ruang kepada Parlimen

Dakwaan yang mengatakan bahawa Parlimen bukan platform sesuai membincangkan isu kedaulatan negara dan hubungan antarabangsa adalah satu pemikiran dangkal. Suara Parlimen penting dalam mempertahankan kedaulatan negara di peringkat global.

Justeru, amat wajar sekiranya kerajaan bersifat terbuka dan membenarkan usul tergempar berkenaan tuntutan Kesultanan Sulu ke atas aset negara dibahaskan oleh ahli Parlimen pada minggu hadapan. Persoalannya, apakah langkah yang ada jika usul berkenaan tidak dapat dibahaskan?

Pertama, kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Parlimen), Menteri Luar Negeri dan Menteri di JPM (Ekonomi) perlu membuat penerangan di Dewan Rakyat berdasarkan Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) bagi menjelaskan pendirian dan komitmen kerajaan dalam isu ini.

Kedua, kerajaan Ismail Sabri wajar menyediakan Kertas Putih (White Paper) yang memperincikan butiran dasar dan komitmen kerajaan Persekutuan mengatasi isu tuntutan waris Kesultanan Sulu kepada Parlimen. Kertas putih ini penting untuk memandu ahli Parlimen mengeluarkan pandangan berdasarkan fakta yang disediakan oleh kerajaan. Ini merupakan kaedah untuk memastikan setiap perancangan kerajaan dibahaskan secara konstruktif dan benar-benar memberi impak dalam memperkukuh dasar kerajaan.

Ketiga, Jawatankuasa Khas Parlimen (JPK) Hubungan Antarabangsa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Salahuddin Ayub wajar mengambil peranan untuk meneliti keputusan dibuat Pasukan Khas menangani tuntutan waris Sultan Sulu yang ditubuhkan oleh Jemaah Menteri pada 15 Julai 2022. Pasukan khas ini diketuai oleh Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bertanggungjawab dalam merangka perancangan dalam mengatasi isu tuntutan waris Sultan Sulu ini.

JPK Hubungan Antarabangsa juga boleh memanggil pihak bertanggungjawab, sama ada pegawai kerajaan, bekas Peguam Negara dan tenaga pakar bagi mendapatkan penjelasan lanjut dalam isu ini serta memberi solusi terbaik kepada kerajaan untuk mendepani cabaran pada masa akan datang.

Segala pendekatan terbaik untuk mengimbangi keputusan kerajaan ke atas isu ini sudah pun tersedia di Parlimen. Saya percaya, masih ramai ahli Parlimen mahu membahaskan masalah waris Kesultanan Sulu yang telah mengancam kedudukan aset negara di Parlimen.

Tetapi, sejauh manakah kerajaan berani mengambil tanggungjawab tersebut untuk membahaskan masalah ini di Parlimen?

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen