Pembunuh Abe jalani pemeriksaan mental, lapor media


Shinzo Abe ditembak dar jarak dekat oleh Tetsuya Yamagami semasa berkempen pada 8 Julai di bandar barat di Nara, dua hari sebelum pilihan raya dewan negara itu. – Gambar EPA, 23 Julai, 2022.

LELAKI yang dituduh membunuh bekas perdana menteri Jepun Shinzo Abe akan menjalani pemeriksaan mental, lapor media tempatan hari ini.

Abe ditembak mati semasa berkempen pada 8 Julai di bandar barat di Nara, dua hari sebelum pilihan raya dewan negara itu.

Tertuduh, Tetsuya Yamagami berada dalam tahanan dan dilaporkan menyasarkan Abe kerana dia percaya bekas pemimpin itu dikaitkan dengan Penyatuan Gereja.

Pada Jumaat, Mahkamah Daerah Nara meluluskan permintaan pejabat pendakwa raya tempatan untuk pemeriksaan psikiatri terhadap Yamagami yang berusia 41 tahun, lapor Asahi Shimbun dan media tempatan yang lain, memetik sumber penyiasatan yang tidak dinamakan.

Pemeriksaan itu dijangka berakhir pada hujung November, kata laporan itu.

Siasatan terhadap suspek akan dihentikan semasa pemeriksaan mental.

Pendakwa raya akan menentukan sama ada Yamagami boleh menanggung liabiliti jenayah berdasarkan pemeriksaan tersebut sebelum membuat keputusan sama ada untuk mendakwanya atau tidak, kata laporan itu.

Abe ialah ahli politik terkenal Jepun, mengekalkan tempat yang menonjol dalam kehidupan awam walaupun selepas meletak jawatan pada 2020 atas masalah kesihatan.

Beliau juga merupakan tokoh pemecah belah yang berdepan dakwaan kronisme dan dikritik kerana pandangan nasionalisnya.

Pendakwaan dan pegawai mahkamah bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan laporan media tempatan. – AFP, 23 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen