Prayuth beri penghormatan terakhir kepada mendiang Shinzo Abe


Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha singgah di Kedutaan Jepun di Bangkok untuk menandatangani buku takziah susulan kematian Shinzo Abe. – Gambar EPA, 12 Julai, 2022.

PERDANA Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha memberi penghormatan terakhir kepada “rakan karibnya”, bekas perdana menteri Jepun Shinzo Abe yang maut akibat ditembak Jumaat lalu.

Prayuth singgah di Kedutaan Jepun di Bangkok untuk menandatangani buku takziah.

Kedutaan Jepun di Thailand membuka pintunya mulai hari ini hingga Khamis untuk membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada bekas perdana menteri itu.

Minggu lalu, Prayuth menulis di Facebooknya bahawa beliau kehilangan seorang sahabat baik dan Jepun kehilangan tokoh yang disayangi.

Abe, 67, ditembak dari belakang ketika sedang berucap dalam satu kempen politik di bandar raya Nara.

Lelaki yang ditahan kerana membunuh Abe, Tetsuya Yamagami, 41, menghampiri ahli politik itu dari belakang dan melepaskan dua das tembakan dari jarak kira-kira 10 meter (33 kaki).

Hari ini, empat hari selepas pembunuhannya, keluarga dan sahabat-handai menghadiri pengebumian Abe di kuil Buddha di Tokyo manakala orang ramai berkumpul di jalanan untuk memberi penghormatan terakhir kepada perdana menteri paling lama berkhidmat di negara itu. – Bernama, 12 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen