Ahli Parlimen pembangkang persoal keputusan TH melabur di UK


Ravin Palanisamy Raevathi Supramaniam

Ahli Parlimen pembangkang pertikai pelaburan TH di UK memandangkan ketidaktentuan masa depannya selepas Brexit dan ia mungkin tidak memberikan pulangan yang baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2022.

TABUNG Haji (TH) perlu telus dan bertanggungjawab kepada pencarumnya berhubung pembelian bangunan komersial bernilai bilion ringgit di United Kingdom (UK), kata ahli Parlimen pembangkang.

Mereka berkata memandangkan ketidaktentuan masa depan UK selepas Brexit, pelaburan itu mungkin tidak memberikan pulangan yang baik.

Mereka menambah TH sepatutnya melabur dalam negara untuk mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan ekonomi.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata terdapat keperluan untuk TH mendedahkan sama ada ia  membeli bangunan itu pada nilai pasaran.

“Membeli bangunan itu tidak menjadi masalah, isunya ialah ketelusan,” kata Maria kepada The Malaysian Insight.

“Adakah ia dibeli pada nilai pasaran, melebihi pasaran atau di bawah nilai pasaran? Kita tidak tahu ini. TH perlu bertanggungjawab kepada pencarumnya.”

Maria berkata jika tujuannya untuk mengaut keuntungan dan membayar dividen, maka ia perlu menjelaskan pulangan pelaburan mereka.

“TH pegang duit haji, mereka kena bertanggungjawab kepada orang yang mereka bayar dividen. Adakah pelaburan ini akan menurun atau menaikkan dividen mereka?”

Selain itu, agak pelik kerana TH memutuskan untuk membeli bangunan itu ketika ringgit menyusut dengan ketara, katanya.

Semalam, TH berkata ia membeli bangunan komersial bernilai RM1.3 bilion di London untuk mengembangkan portfolio komersialnya.

Bangunan itu, dikenali sebagai Great Minster, di 33, Horseferry Road, Victoria, dibeli dengan harga £247.5 juta (RM1.3 bilion) daripada firma hartanah tersenarai Singapura Sinar Mas Land pada 12 Julai. Pengambilalihan itu difailkan dengan Bursa Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif TH Amrin Awaluddin berkata hartanah itu akan menghasilkan pulangan jangka panjang melalui bayaran sewa dan penyelenggaraan, yang akan naik setiap tahun.

Pejabat itu disewakan sepenuhnya kepada Setiausaha Negara British bagi Kementerian Pengangkutan sehingga 2033.

TH berkata 11% daripada dananya, atau RM88 bilion, diperuntukkan kepada pelaburan hartanah di luar negara.

Pasaran UK merosot

Ahli Parlimen DAP Charles Santiago berkata pelaburan baharu itu mungkin tidak praktikal memandangkan iklim ekonomi UK.

“Pasaran UK merosot akibat Brexit.

“Kita tidak tahu bagaimana rupa masa depan UK. Mungkin bukan idea yang baik untuk melabur di negara seperti itu,” kata Santiago.

Beliau turut mempersoalkan sama ada pembelian itu mendapat kebenaran Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Ini adalah dana awam. Hanya kerana mereka mempunyai dana, ia bukan peluang untuk terus berbelanja.”

Sementara itu, Naib Presiden Muda Teo Lee Ken mempersoalkan sama ada TH sudah berunding dengan pencarumnya berhubung pelaburan yang begitu besar.

“Bagaimana keputusan sedemikian dicapai untuk melabur sejumlah besar di London? Adakah ini dimaklumkan kepada pendeposit?” soal Teo.

“Setakat ini, pelaburan TH di bawah Urusharta Jamaah masih belum pulih daripada kerugiannya. Perlu ada lebih ketelusan dan akauntabiliti.”

Pada 2018, Menteri Kewangan (Diperbadankan) menubuhkan jentera tujuan khas untuk memperoleh aset TH yang kurang berprestasi pada RM19.9 bilion, sebagai langkah memulihkan TH.

Teo berkata dana itu sepatutnya mempertimbangkan untuk melabur di dalam negara dan bukannya di luar negara.

“Syarikat berkaitan kerajaan seperti TH juga harus mempertimbangkan untuk melabur dalam negara bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk golongan muda.

“Daripada terus melabur di luar negara, ia dapat meningkatkan kesejahteraan ekonomi negara dan bukan sahaja nilai pemegang saham.” – 23 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen