TH beli hartanah RM1.3 bilion di London untuk pelaburan


Raevathi Supramaniam

Pembelian hartanah di London selaras dengan objektif pelaburan TH, untuk mempelbagaikan jenis pelaburan dari segi aset dan lokasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2022.

KEPUTUSAN Tabung Haji (TH) membeli bangunan komersial bernilai RM1.3 bilion di London adalah untuk mengembangkan portfolio komersialnya di United Kingdom (UK), kata lembaga pengarahnya.

Bangunan yang dikenali sebagai Great Minster, 33 Horseferry Road, Victoria itu dibeli daripada firma hartanah tersenarai Singapura Sinar Mas Land pada harga £247.5 juta (RM1.3 bilion) pada 12 Julai dan difailkan ke Bursa Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif TH Amrin Awaluddin berkata pembelian hartanah itu akan memberi pulangan jangka panjang dengan sewaan dan kenaikan sewa tahunan, kos penyelenggaraan yang dibayar oleh penyewanya, serta nilai pasaran yang stabil.

“Ianya juga selaras dengan objektif pelaburan TH, untuk mempelbagaikan jenis pelaburan dari segi aset dan lokasi,” kata Amrin dalam satu kenyataan.

Bangunan seluas 179,869 meter persegi itu juga terletak di satu daerah perniagaan terbesar di West End, katanya.

Ia juga menempatkan banyak pejabat kerajaan kerana berdekatan dengan bangunan Parlimen UK dan mempunyai hubungan baik dengan pengangkutan awam, katanya.

TH membayar kira-kira £1,370 (RM7,318) setiap kaki persegi untuk bangunan pegangan bebas itu.

Pejabat itu disewakan sepenuhnya kepada Setiausaha Negara bagi Pengangkutan kerajaan Britain sehingga 2033.

“TH sentiasa berhati-hati dalam membuat sebarang pelaburan hartanah bagi memastikan ia memberi pulangan segera untuk menampung kos haji tahunan dan agihan keuntungan tahunan.

“Pulangan jangka panjang yang stabil dan selamat bagi kesinambungan TH dan pendepositnya.”

Dana itu berkata ia memperuntukkan 11% daripada dananya, atau RM88 bilion, bagi pelaburan dalam sektor hartanah di luar negara.

“TH kini giat meninjau peluang meningkatkan pelaburan dalam sektor hartanah luar negara dalam usaha mempelbagaikan portfolio pelaburan kerana ia dikenal pasti sebagai langkah terbaik untuk memperoleh pulangan kompetitif dan konsisten untuk 8.5 juta pendeposit TH.”

Pegangan TH di London sebelum ini termasuk bangunan pejabat, 151 Buckingham Palace Road, yang dijual kepada konsortium pelabur swasta yang diketuai oleh Gaw Capital Partners Hong Kong pada 2015. – 21 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen