PELABUR asing tidak akan menjauhi Malaysia kerana kedudukannya dalam indeks persepsi rasuah (CPI) yang diberikan oleh badan pemantau antirasuah global Transparency International (TI), kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki hari ini.
Beliau berkata tiada data membuktikan pelabur menolak Malaysia berdasarkan laporan CPI, yang didakwanya hanya “persepsi”.
“Saya tidak mempunyai data (belum diperoleh) tetapi berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia, tiada sebab pelabur asing menjauhi berdasarkan persepsi.
“Jika ada pelabur yang tidak mahu melabur di sini berdasarkan persepsi, maka saya tidak tahu kenapa (jadi begitu),” kata ketua SPRM itu pada acara media di Putrajaya hari ini.
Terdahulu, Azam berkata CPI tidak semestinya menggambarkan “keadaan rasuah sebenar” sesebuah negara.
Beliau berkata laporan itu tidak berdasarkan fakta dan bukti.
Sambil meragui laporan CPI, beliau bertanya sama ada ia benar-benar menjadi punca pelabur menjauhkan diri dari negara tertentu.
Beliau menyindir pelabur asing masih melabur di negara lain yang persepsi rasuah jauh lebih teruk berbanding Malaysia.
“Adakah kerana persepsi pelabur menjauhkan diri? Menjauhi negara? Lebih baik anda buat pemeriksaan.
“Jika anda kata Vietnam dan Thailand lebih baik daripada kita (dalam menarik pelabur asing) tetapi indeks persepsi rasuah mereka lebih teruk daripada kita.
“Jadi saya tidak boleh menjawab perkara itu yang menyatakan kerana persepsi pelabur akan menarik diri,” katanya.
Azam berkata pelabur mungkin tidak melabur di Malaysia atas pelbagai sebab lain selain CPI.
Bagi CPI 2021, Malaysia turun lima anak tangga ke kedudukan 62 daripada 180 negara, menandakan tahun kedua berturut-turut negara jatuh dalam kedudukannya.
Dari segi mata, Malaysia mencatatkan 48 pada 2021, turun daripada 51 pada 2020, yang juga susut daripada 53 pada 2019.
Di Asia Tenggara, Malaysia berada di tempat ketiga selepas Singapura dan Brunei.
Dalam kalangan negara Islam, Malaysia berada di kedudukan keenam, di belakang UAE, Qatar, Brunei, Oman dan Arab Saudi.
CPI ialah indeks yang meletakkan kedudukan negara mengikut tahap rasuah sektor awam yang menjadi persepsi, seperti ditentukan oleh penilaian pakar dan tinjauan pendapat.
Ia menggunakan skala sifar hingga 100, dengan markah lebih rendah menunjukkan rasuah yang lebih tinggi.
CPI secara amnya mentakrifkan rasuah sebagai “penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan untuk keuntungan peribadi”.
TI menerbitkan indeks setiap tahun sejak 1995. – 21 Julai, 2022.
Komen